Golongan muda perlu diberi peluang sertai kabinet

Amirah Rashidah Ishak
- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Rakyat berharap golongan muda dipilih untuk menerajui kabinet  pentadbiran negara dalam usaha mewujudkan negara yang berwawasan tinggi dan inovatif.

Tinjauan HarakahDaily sekitar ibu kota negara hari ini mendapati orang ramai memberi pelbagai pandangan yang positif berhubung kabinet baharu negara.

- Advertisement -

Pekerja swasta, Amirah Rashidah Ishak, 33, berkata, golongan muda seharusnya diberi peluang untuk mengisi kabinet negara dalam menarik ramai belia cenderung terhadap politik.

“Golongan belia merupakan pelapis masa hadapan negara yang berperanan sebagai tenaga utama dalam masyarakat.

“Mereka dapat mewujudkan masyarakat yang berinovasi dan penuh idealistik. Sejak kemerdekaan, belia negara kita telah turut sama berperanan dan menyumbang kepada proses pembinaan dan pembangunan negara. 

“Sumbangan ini meliputi segala aspek baik dari segi politik, ekonomi, sosial, dan pendidikan. Sekali gus menjadikan golongan muda asas sebenar atau tulang belakang kepada keutuhan dan kekuatan sesuatu bangsa dan negara,” ujar Amirah kepada HarakahDaily.

Sementara itu, penyunting video, Syahmi Sulaiman, 28, berharap agar pemimpin teknokrat dan golongan profesional dilantik dalam menerajui kepimpinan negara.

Katanya lagi, sudah tiba masanya lebih ramai ahli profesional dan teknokrat dilantik bagi mengisi jawatan menteri tertentu kerana negara lebih memerlukan tenaga dan buah fikiran mereka dalam mewujudkan negara yang gemilang dan terbilang.

Syahmi Sulaiman

Bagi pekerja bank, Lim Jia Jun,26, kerajaan dan menteri kabinet baharu perlu memainkan peranan yang penting bagi memberi fokus kepada mengurangkan kes Covid-19 dan memperbaiki situasi yang dihadapi oleh rakyat marhaen.

“Bagi saya, tidak kisahlah siapa pun yang menganggotai kabinet Malaysia asalkan pandemik dapat dihapuskan serta ekonomi negara dapat kembali pulih.

“Kerajaan perlu segera membendung dan mengurangkan kadar jangkitan baharu kes harian Covid-19 bagi menamatkan pandemik,” katanya.

Lim Jia Jun

Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah pada 21 Ogos 2021  sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada 16 Ogos lalu selepas kehilangan sokongan majoriti.

Istana Negara dalam kenyataannya sebelum ini mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selepas 114 Ahli Dewan Rakyat daripada parti kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin mencalonkannya. HARAKAHDAILY 24/08/21

- Advertisement -