Kes COVID-19 di Kedah trend meningkat – Dr Hayati

- Advertisement -

KEJADIAN kes COVID-19 di Negeri Kedah menunjukkan trend meningkat bermula pada Minggu Epid 25 dan masih belum menunjukkan penurunan sehingga minggu lepas.

Sepanjang Minggu Epid 33 (15 hingga 21 Ogos 2021), Kedah mencatatkan 12,852 kes COVID-19 iaitu peningkatan sebanyak 7 peratus berbanding jumlah kes pada minggu sebelumnya (12,048 kes).

- Advertisement -

Secara umumnya, semua daerah menunjukkan trend meningkat kecuali daerah Kuala Muda dan Yan. Daerah Pendang mencatatkan peningkatan kes tertinggi iaitu 28 peratus, diikuti Baling (25 peratus) dan Langkawi (21 peratus).

Berkaitan dengan jenis saringan, sepanjang Minggu Epid 33 sebanyak 7,206 kes atau 56 peratus kes baharu dikesan melalui saringan kontak rapat, 2622 kes (20 peratus) daripada saringan bergejala pula 1,179 kes (9 peratus) daripada saringan kendiri, 7 peratus daripada saringan kluster dan 5 peratus melalui saringan tempat kerja.

Sepanjang Minggu Epid 33 juga, terdapat 9 kluster baharu dilaporkan di Negeri Kedah; 4 kluster komuniti, 2 kluster industri, 2 kluster pusat tahanan dan 1 kluster tapak bina.

Berdasarkan situasi ini trend jangkitan COVID-19 di Negeri Kedah belum menurun kerana jangkitan COVID-19 telah ada dalam masyarakat.

Peningkatan kes dikesan di luar kluster, peningkatan kes dikesan melalui saringan bergejala dan saringan kendiri serta kepelbagaian jenis kluster baharu membuktikan perkara ini. Oleh itu, masyarakat diseru mengamalkan pencegahan jangkitan melalui amalan norma baharu dan mendapatkan imunisasi COVID-19.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan penduduk dunia akan hidup dengan COVID-19 atau living with the virus untuk tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang.

Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang belum menampakkan kesudahannya serta melindungi semua rakyat Malaysia daripada mendapat kesan jangkitan COVID-19 yang teruk.

Sehingga 21 Ogos 2021, seramai 59.3 peratus daripada 1,540,600 warga dewasa berumur 18 tahun ke atas di Negeri Kedah telah mendapat 1 dos vaksin sementara 36.3 peratus pula telah melengkapkan 2 dos suntikan.

Pada penghujung bulan Ogos 2021, kira-kira 40 peratus warga Negeri Kedah yang layak divaksin dijangka akan menerima vaksin yang lengkap. Sungguhpun begitu masih terdapat kira-kira 18 peratus individu yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin di Negeri Kedah.

Kerajaan Negeri Kedah ingin menyeru rakyat negeri ini yang berumur 18 dan ke atas untuk segera mendaftar sebagai penerima Imunisasi COVID-19. Seperti mana yang sering diuar-uarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, kita belum menang.

Kerajaan Negeri Kedah menyeru kepada semua rakyat di Negeri Kedah untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian. Terus duduk di rumah jika tiada keperluan di luar, pakai pelitup mulut dan hidung ketika berada di tempat awam, jangan berjabat tangan atau bersentuhan dengan orang lain dan jaga jarak 1 meter dengan orang lain.

Jika anda kontak rapat kes positif COVID-19 dan bergejala COVID-19, segera lakukan Ujian Kendiri COVID-19 atau hadir ke Klinik Kesihatan berdekatan. Sekiranya anda kontak rapat kes positif COVID-19 atau diarahkan menjalani kuarantin di rumah, pastikan anda sentiasa berada di rumah dan mengasingkan diri daripada ahli keluarga yang tidak dikuarantin. Pastikan anda sentiasa boleh dihubungi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.

YB DATUK DR MOHD. HAYATI OTHMAN
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan 
Negeri Kedah
23 Ogos 2021 – HARAKAHDAILY 23/8/2021

- Advertisement -