Bagaimana membimbing kebangkitan anak muda?

- Advertisement -

ORANG muda akan sentiasa bangkit setiap generasi, tetapi biarlah mereka bangkit dengan bimbingan. Ini kerana setiap kebangkitan itu akan bermula dengan fasa ‘retorik’ sebelum ia menjadi matang. Ia bukan hanya berlaku pada individu, bahkan ia boleh berlaku pada gerakan Islam. Sudah tentu suatu yang merugikan andai kebangkitan itu tetap mengulangi kesilapan lalu, sedangkan ia boleh dielakkan jika diberi sedikit bimbingan.

Mujaddid sebagaimana yang dijanjikan oleh Nabi S.A.W, boleh sahaja muncul sebagai individu, pertubuhan, gerakan dan lain-lain. Tetapi untuk ‘claim‘ sebarang kebangkitan sebagaimana tajdid yang digazetkan oleh Nabi S.A.W, tidaklah semudah itu. Seharusnya memiliki kelayakan dan ciri-ciri yang sepadan.

- Advertisement -

Orang muda tidak sudi dinasihati?

Menurut Dr Qaradhawi, di antara ciri-ciri penggerak kebangkitan adalah mereka sangat obses dengan idea dan pandangan sendiri. Hingga ke tahap akan ‘melawan’ cakap orang tua termasuklah guru mereka sendiri. Dalam perkara ini, pentingnya pengalaman orang yang lebih dewasa untuk menasihati dan membimbing, bukan menyalahkan atau merendahkan. 

Sebab itulah topik jurang antara generasi dan perbezaan cara fikir setiap generasi itu penting untuk difahami. Supaya kebangkitan generasi baru tidak sekadar dilihat dalam kerangka negatif, tidak matang dan tidak kompeten. Sentuhan orang lama dan gelora orang muda semestinya satu kesepaduan yang memberangsangkan.

Tidak semua retorik itu negatif

Perlu difahami, fasa retorik bukan semuanya buruk dan tidak bermanfaat. Boleh jadi dari situlah picu sesebuah teori dan kebaikan, dengan syarat ia terpimpin. Orang muda selalu dilihat tidak sudi dinasihati biasanya berpunca daripada kegagalan orang yang lebih dewasa berinteraksi melalui kaca mata mereka. Boleh jadi kesan merasa tidak dihargai, ditambah pula melihat depan mata rekod orang dewasa yang tidak memberangsangkan, akhirnya mereka memilih jalan mereka sendiri. 

Alam kampus memang medan yang ideal untuk memacu kebangkitan. Kita boleh lihat perkembangan ini secara realiti apabila semua pihak dari pelbagai latar ideologi berpusu-pusu untuk mendekati anak muda di pengajian tinggi sebagai pelapis masa mendatang. 

Yang menyedihkan adalah jika mereka hanya dikader sebagai alat kepentingan masing-masing bukan aset negara mahupun agama. Jiwa besar dan keikhlasan pendidik dalam fasa ini memang sangat didambakan demi pembentukan generasi yang baik.

Gabungan tenaga ulamak, pendakwah, pemikir dan pendidik (Murabbi) dalam memandu kebangkitan sememangnya sangat diperlukan. Keempat-empat golongan ini memainkan peranan dalam pelbagai lapangan dan bidang supaya nasihat dan panduannya bersifat menyeluruh, seimbang dan praktikal. 

Saya kongsikan lapan ciri-ciri fasa retorik sebelum menuju fasa Kematangan yang disebutkan oleh Dr Qaradhawi seperti berikut:

i. Kekuatan membuak-buak seakan tiada limitasi.

ii. Tahap kecerdasan luar batasan dengan idea yang luar jangkaan. 

iii. Suka bermimpi yang indah, angan-angan yang melangit dan tenggelam dalam khayalan.

iv. Mengutamakan sentimen secara emosi dan mahukan respon segera.

v. Gopoh dan kurang sabar yang boleh membawa kepada tindakan tak masuk akal.

vi. Obses dengan diri sendiri yang mendorong diri untuk melawan ibu bapa dan guru.

vii. Cepat kagum dengan tokoh tertentu dan menjadikannya ikutan

viii. Berlebihan dalam menyatakan sesuatu, terkadang culas yang bersangatan, dan terkadang berlebihan menghina.

Mahu mencetus kebangkitan mungkin boleh, untuk memimpinnya tidak cukup dengan mencipta slogan dan laungan. 

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 23/8/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/1222987424/posts/10226230721294131/

- Advertisement -