KUIZM meterai MoA bersama UIN Raden Fatah

- Advertisement -

GOMBAK: Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) dan Universiti Islam Negeri (UIN) Raden Fatah telah mengadakan kerjasama strategik secara rasmi, kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang dimeterai antara kedua pihak dari Malaysia dan Indonesia ini telah dilangsungkan di Dewan Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor, KUIZM, di sini.

Pihak Malaysia telah diwakili Rektor KUIZM, Dr Mohd Zuhdi Marsuki, manakala pihak Indonesia diwakili Dekan Fakultas Dakwah dan Komunikasi UIN Raden Fatah, Dr Kusnadi.

Dr Zuhdi dalam ucapannya berharap hubungan bersama universiti berpusat di Palembang itu dapat dikembangkan lagi bagi meneroka keperluan terkini dalam dunia pendidikan.

Jelas beliau, khususnya bagi pasca-siswazah di bidang penyelidikan ‘futuristic study’ dalam bidang eskatologi iaitu penyelidikan mengenai peristiwa yang berlaku akhir zaman.

Manakala Dr Kusnadi menyifatkan MoA itu adalah kesinambungan dari Memorandum Persefahaman (MoU) yang terdahulu dimeterai tahun 2014 di mana UIN Raden Fatah menjadi medium pelajar KUIZM melanjutkan pengajian.

MoA kedua pihak ini telah disempurnakan Dr Zuhdi dan Pendaftar KUIZM, Ustaz Abdul Rauf Abdul Movin bersama Dr Kusnadi dan Timbalan Dekan Fakultas Dakwah dan Komunikasi UIN Raden Fatah, Dr Abdur Razzaq.

Hadir sama adalah Pengerusi Lembaga Pengarah KUIZM, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed bersama pengurusan daripada kedua-dua pihak menyaksikan majlis bersejarah tersebut. – HARAKAHDAILY 23/4/2019

- Advertisement -