Utamakan integriti dalam memimpin – Dr Syakir

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Kedudukan Naib Presiden Umno, Dato’ Sri Ismail Sabri untuk dilantik sebagai Perdana Menteri adalah amat kukuh dan beliau disaran mengambil kira integriti dan kebertanggungjawaban terhadap negara yang disebut sebagai amanah kepimpinan.

Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi berkata, penjelasan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung prasyarat yang diletakkan PN, amat wajar dan sangat bertepatan dengan etika sebagai seorang kepimpinan negara.

- Advertisement -

Hal ini kerana, beliau berpendapat bahawa kesilapan dalam memilih kepimpinan dan barisan kabinet telah menjadi satu situasi yang ditakuti oleh rakyat pada hari ini.

“Oleh demikian, ianya perlu mengikut kepada lunas-lunas perlembagaan dan juga ciri-ciri seorang pemimpin yang dikehendaki oleh rakyat.

“Sepertimana yang disebut oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu berintegriti, amanah, bertanggungjawab dan seumpamanya,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Justeru itu, beliau menyokong sebarang usaha membentuk kerajaan yang berintegriti supaya kepercayaan rakyat dapat dikembalikan semula, yakni kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negara.

“Semestinya, apa yang perlu dilakukan pada proses awal untuk perlantikkan kabinet itu ialah penyusunan semula menteri-menteri.

“Bagi saya, rakyat sukar untuk melihat dari sudut performance dan juga amanah dan bebas daripada unsur-unsur mahkamah ataupun keterlibatan dalam mahkamah.

“Kerana ketiga-tiga perkara ini sangat penting untuk memastikan rakyat akan bersedia bersama-sama dengan kerajaan untuk membangunkan negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar penyusunan kabinet baharu dapat menjadi contoh kepada barisan-barisan kabinet sebelum ini selain boleh menghasilkan sesuatu kejayaan kepada negara dan juga suruhan kepada rakyat.

“Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan faedah ataupun manfaat besar kepada rakyat melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Ransangan Ekonomi dan Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan seumpamanya.

“Dan kita akan lihat apa yang dibuat oleh Dato’ Sri Ismail Sabri dengan barisan kepimpinan kabinetnya untuk membantu rakyat ketika masalah pandemik Covid-19 dan ketika masalah ekonomi serta  politik yang berlaku pada hari ini,” ujar beliau.

Beliau turut mencadangkan supaya langkah-langkah yang diambil kerajaan baharu itu perlu mengutamakan kestabilan politik memandangkan ia dijangka mempengaruhi ekonomi dan mental rakyat.

Oleh itu, belia menasihati supaya kerajaan tidak memberi sebarang tekanan terhadap rakyat, dan memberi ruang untuk rakyat rasa ‘terhibur’ dengan kepimpinan yang terbaru ini.

“Maksud terhibur itu ialah rakyat rasa gembira dengan perlantikan bahuru dan segala performance yang akan dibuat selepas ini,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

- Advertisement -