
Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD
KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) menerima baik penegasan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berhubung syarat penubuhan kerajaan PN di bawah pentadbiran Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob yang dicalonkan PN sebagai Perdana Menteri.
Ketua DHPP, Senator Balasubramaniam Nachiappan berkata, syarat ini bukan sahaja mengekalkan prinsip Perikatan Nasional sebagai kerajaan berintegriti malah mengelakkan persepsi rakyat terhadap salah guna kuasa.
Beliau dihubungi HarakahDaily semalam untuk mengulas sokongan bersyarat gabungan parti PN yang ditegaskan Muhyiddin sekiranya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Gabungan parti PN yang terdiri daripada parti PAS, Bersatu, STAR dan bebas bersetuju menandatangani akuan bersumpah menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Akuan bersumpah itu diserahkan kepada Sultan Abdullah pada Rabu.
Kata Muhyiddin, beliau juga berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk kerajaan PN semasa pentadbirannya supaya mengambil ketetapan yang sama.
Syarat yang ditegaskan merangkumi Ahli Jemaah Menteri yang akan dilantik adalah bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah, berintegriti dan beramanah.
Menurut Balasubramaniam, cadangan tersebut bukan satu ugutan tetapi bagi mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap integriti PN.
“Bagi saya ianya bukanlah satu ugutan atau memandang rendah mana-mana pihak tetapi jika syarat ini diterima maka rakyat akan lebih percaya kepada kepimpinan Dato’ Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong,” kata Balasubramaniam.
Ismail Sabri memperoleh sokongan 114 ahli parlimen merangkumi gabungan parti PN dan kesemua ahli parlimen Barisan Nasional kecuali Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Perkara tersebut disahkan Setiausaha Agung Umno, Dato’ Seri Ahmad Maslan.
Sehubungan itu, Sultan Abdullah menitahkan 114 ahli parlimen yang menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri untuk menghadap baginda di Istana Negara pada Khamis.
Pertemuan tersebut bermula dari pagi hingga ke petang berjalan dengan lancar. – HARAKAHDAILY 20/8/2021











