Kerajaan berintegriti, patuhi ‘rules of law’

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) bersama 175 badan bukan kerajaan (NGO) berharap kerajaan yang bakal dibentuk adalah sebuah kerajaan yang berintegriti, telus, beramanah serta berjalan diatas amalan rule of law.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, jemaah menteri perlulah terdiri daripada individu yang bersih dan bebas daripada kes mahkamah, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

- Advertisement -

“Kerajaan yang akan ditubuhkan nanti semestinya fokus dengan menumpukan kepada menanggani Covid-19, pelan vaksinasi kebangsaan dan pelan pemerkasaan ekonomi negara.

“Kerajaan juga wajar meneruskan kesinambungan dasar-dasar kerajaan terdahulu yang baik dan bermanfaat kepada rakyat.

“Mengutamakan kestabilan politik, memupuk perpaduan dan mengutamakan kesejahteraan rakyat mestilah dilaksanakan.

“Kerajaan yang dibentuk juga semestinya melaksanakan prinsip pengasingan kuasa, kebebasan badan kehakiman, konsep Raja berpelembagaan dan menyuburkan amalan demokrasi berparlimen,” katanya.

Kata Mohd Zai, UMMAH bersama 175 NGO mengikuti rapat perkembangan proses pemilihan perdana menteri yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata, pihaknya meletakkan kepercayaan dan keyakinan yang tinggi di atas kebijaksanaan Agong melaksanakan tanggungjawab dan peranan baginda sebagai memenuhi prinsip Raja Berpelembagaan yang menjadi payung rakyat dan negara.

“Kami menyakini Agong telah mempuyai jawapan yang jelas dan kukuh kepada kemelut yang berlaku bagi melantik seorang perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti ahli dewan rakyat.

“UMMAH bersama 175 NGO dan NGO Islam, menegaskan agar semua pihak akur dengan keputusan yang dibuat nanti dan jangan ada lagi pihak yang masih mempertikaikan keabsahan perdana menteri,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga berharap agar tiada sebarang isu timbul membabitkan sikap ahli politik menganggu gugat ketenteraman negara dengan pelbagai fitnah yang sebarkan.

Beliau turut menggesa sebarang permainan politik digerakkan ketika ini dan berharap semua pihak menumpukan usaha menyelamatkan rakyat dan negara, katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

- Advertisement -