Exco kesal ada pihak enggan terima penjelasan kerajaan

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

YAN:
Anggota Exco kerajaan negeri melahirkan rasa kesal kerana masih ada pihak menuduh kejadian arus kepala air di Gunung Jerai ada kaitan dengan aktiviti pembalakan.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, kerajaan negeri sudah menjelaskan tiada aktiviti pembalakan di lokasi terbabit memandangkan ia kawasan hutan simpan.

“Walaupun tukang mencanang cerita palsu itu dapat dikesan dan dikenali namun sikap sedemikian itu membuktikan golongan terbabit memang sengaja menimbulkan perkara yang mengelirukan rakyat,” katanya di sini.

- Advertisement -

Sebelum itu beliau melawat beberapa premis prasekolah milik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang terjejas akibat tragedi banjir kilat di Yan dan Kuala Muda petang Rabu lepas.

Lawatan ke Tabika KEMAS itu diiringi Pegawai KEMAS Daerah Yan, Zainab Awang. Hadir sama penghulu dan Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Kejadian banjir kilat yang berpunca hujan ekstrem di Gunung Jerai menyebabkan banyak rumah dan kemudahan awam rosak termasuk di Kampung Baru Gurun, Kampung Sungai Badak, Kampung Sungai Kunyit Atas, Kampung Tandop Batu dan Kampung Sungai Batu.

Kejadian tersebut juga meragut empat nyawa dan dua lagi mangsa masih belum ditemui.

Sehubungan itu Siti Ashah merakam ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam musibah banjir kepala air Gunung Jerai.

Beliau berharap semua mangsa kejadian bersabar menerima dengan reda bencana yang menimpa mereka.

“Setiap ujian yang diturunkan Allah SWT mengandungi hikmah tersendiri. Paling terbesar ia mengajar serta mendidik setiap kita sifat sabar dan tabah selain tolong menolong antara satu sama lain,” katanya.

Beliau yang juga Adun Merbau Pulas turut mengucapkan penghargaan kepada petugas dan sukarelawan yang bertindak pantas membantu penduduk yang terlibat.

Anggota Exco terbabit turut menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa terkorban Allahyarham Zainal Murad di kediamannya. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

- Advertisement -