
Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu memandang serius isu kejadian tanah runtuh yang berlaku di di Pusat Falak Sheikh Tahir, Balik Pulau, Pulau Pinang baru-baru ini.
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, semua cerun di Pulau Pinang perlu sentiasa diperiksa bagi memastikan ia kukuh agar tidak berlaku kejadian tidak diingini.
“SAM berpandangan bahawa setiap cerun haruslah sentiasa diperiksa bagi memastikan ianya kukuh agar perkara-perkara yang membabitkan hakisan atau kejadian tanah runtuh tidak berlaku dengan mudah, lebih-lebih lagi dengan perubahan iklim yang mana kita akan berhadapan dengan ribut serta hujan lebat yang kerap.
“Perkara ini perlu diberikan perhatian serius oleh pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang serta Pusat Falak Sheikh Tahir yang mana kerosakan yang berlaku perlu dibaik pulih dengan segera untuk menjamin keselamatan dan kestabilan cerun.
“Tindakan mitigasi perlu dilakukan agar masalah ini tidak lagi berulang di masa akan datang. Sekiranya melibatkan penduduk-penduduk yang berdekatan, mereka perlu dipindahkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Meenakshi berkata, daripada sumber diperoleh, punca kejadian tersebut adalah disebabkan oleh kegagalan stone pitching bagi perlindungan cerun akibat hujan lebat sehingga menyebabkan batu-batu besar menggelongsor.
“Malah info daripada sumber yang sama juga menerangkan pihak Jabatan Mufti pada tahun 2016 atau 2017 telah diberi cadangan untuk penambah baikan perlindungan cerun di kawasan tersebut.
“Bagaimanapun, mungkin disebabkan oleh beberapa faktor yang dikemukakan pihak tertentu termasuk Cawangan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur menyebabkan Jabatan Mufti menolak atau tidak memberi kelulusan bagi cadangan tersebut,” katanya.
Menurutnya, SAM tetap dengan pendirian tidak menyokong sebarang pembangunan yang melibatkan kawasan cerun atau lereng bukit kerana bimbang perkara-perkara yang tidak diingini berlaku serta memusnahkan ekosistem bukit.
Terdahulu media melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, tiga batu besar dikatakan menggelongsor ke atas jalan raya selepas hujan lebat lebih sejam di kawasan lereng bukit berkenaan.
Kejadian itu mengakibatkan beberapa batu besar berdiameter antara 1.5 meter menggelongsor di atas jalan raya yang menjadi jalan utama ke Kampung Pantai Acheh. – HARAKAHDAILY 19/8/2021




















