Pertemuan menghadap Agong berjalan lancar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menyifatkan pertemuan semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berjalan lancar, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, dalam pertemuan itu, Yang di-Pertuan Agong mahu mendapat kepastian tiada sebarang paksaan berlaku dalam penyerahan sokongan akuan bersumpah (SD) yang diterima baginda.

“Tadi, Yang di-Pertuan Agong menjemput untuk menghadap baginda, untuk memastikan SD yang kita buat itu, betul-betul jujur dan tidak ada sebarang tekanan, sebarang hasutan dari mana-mana pihak, itu sahaja.

“Jadi, semuanya berjalan baik belakalah. Termasuk PAS, Umno, Bersatu dan parti-parti yang bersama dengan PN,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Semalam, Al-Sultan Abdullah menitahkan Ahli-ahli Parlimen yang menyokong Ahli Parlimen Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 dipanggil menghadap baginda, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Bera, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob telah mendapat majoriti melalui sokongan 114 Ahli Parlimen.

Mengulas mengenai pra-syarat yang dikenakan PN terhadap calon kabinet yang baharu, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat itu menganggap ia adalah perkara biasa.

Katanya, ia merupakan satu penegasan yang dibuat PN untuk mengimbangi kabinet baharu dalam mentadbir negara supaya pentadbiran negara berjalan lancar dan berasa di atas landasan yang benar serta menepati syariat Islam.

“Jadi, bagi saya, (syarat itu) saya merasakan bahawa semua yang ada dalam kerajaan baharu ini adalah orang yang jujur, yang ikhlas, yang bekerja untuk memastikan negara kita ini sebuah negara, ke arah negara maju, dan kita menolak segala perbuatan dan kelakuan yang bercanggah dengan undang-undang negara.

“Apatah lagi yang bercanggah dengan syariat agama Allah, yakni agama Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/8/2021

- Advertisement -