
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) berharap jemaah menteri yang bakal dilantik di bawah perdana menteri baharu bukan individu yang berdepan sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata individu yang akan dilantik menganggotai kabinet baru perlu terdiri daripada mereka yang berintegriti dan amanah.
Katanya prasyarat itu dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar Kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara.
Kata beliau langkah itu sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.
“Sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob hendaklah memastikan jemaah menteri yang bakal dilantik terdiri daripada mereka berintegriti, amanah dan bebas sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah,” katanya pada kenyataan hari ini.
Hari ini, Setiausaha Agung Umno, Dato’ Seri Ahmad Maslan mengesahkan Ismail Sabri mendapat sokongan 114 ahli parlimen, di mana kesemua ahli parlimen BN menyokong kecuali Tengku Razaleigh Hamzah.
Malah PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga menyokong pelantikan Ahli Parlimen Bera itu bagi menyelesaikan segera kemelut politik negara.
Muhyiddin yang kini bertindak sebagai Perdana Menteri Sementara berkata, parti PN sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan Ismail yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri.
“Ia sebagai calon Perdana Menteri Kerajaan PN yang baharu. Ismail juga perlu meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan,” ujarnya.
Menurutnya juga semua 50 Ahli Dewan Rakyat daripada parti-parti gabungan PN, termasuk empat wakil rakyat Bebas pro-PN menyerahkan Akuan Bersumpah kepada Istana Negara dengan memberi sokongan kepada Ismail Sabri.
“Saya juga telah berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk Kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama,” katanya.
Beliau berkata, keputusan mencalonkan Ismail Sabri menunjukkan PN lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa.
Kata beliau apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar (magnanimous) demi kepentingan rakyat dan negara.
Beliau juga berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.
“Selaku Pengerusi PN saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 apabila tiba masanya,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/8/2021











