
Oleh YM RAJA SHAH ERMAN RAJA ARIFIN
NEGARA sekali lagi dikejutkan dengan episod peletakan jawatan Perdana Menteri kelapan selepas setahun yang lalu perkara yang sama berlaku kepada Perdana Menteri ketujuh dalam konteks yang sama apabila peralihan sokongan parti politik beralih arah akibat perubahan landskap politik yang memerlukan kuasa legislatif secara majoriti di Dewan Rakyat.
Dalam prinsip perasingan kuasa atau ‘separation of power’ yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan jelas menunjukkan peranan masing-masing iaitu kuasa legislatif sebagai penggubal undang-undang, kuasa eksekutif sebagai pentadbir kerajaan berlandaskan undang-undang dan kuasa Kehakiman yang melaksanakan undang-undang.
Dalam senario hari ini, apabila terbubarnya Jemaah Menteri kesan dari peletakan jawatan Perdana Menteri, ramai sekali lagi beranggapan negara tidak dapat beroperasi kerana tiadanya Jemaah Menteri.
Perdana Menteri ‘sementara’ pulak dilantik sehingga Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mendapat kepercayaan sokongan majoriti di kalangan ahli parlimen bagi pelantikan Perdana Menteri yang baru.
Jika dilihat semula Ketua Negara bagi Malaysia adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan pelantikan seseorang Perdana Menteri dan Jemaah Menteri adalah atas perkenan Baginda apabila percaya atas majoriti ahli dewan rakyat.
Ianya mungkin kiraan yang mudah jika melalui keputusan pilihan raya dan majoriti kemenangan kerusi-kerusi parlimen kepada sesebuah parti.
Namun sejak pilihan raya tahun 2018, apabila kerajaan dipilih tidak mempunyai lebih dua pertiga majoriti, maka kedudukan ahli legislatif adalah tidak kuat khususnya untuk mendapat undian dalam meluluskan sebarang dasar yang melibatkan dana negara.
Keadaan ini berterusan sehingga jatuhnya kerajaan apabila tidak lagi mendapat majoriti walaupun tidak melalui proses pilihan raya kerana ianya boleh dibuktikan dengan undian di Dewan Rakyat.
Berbeza dengan episod kali ini berbanding tahun 2020 apabila pentadbir kerajaan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara lebih bersedia dengan situasi ini kerana pernah melaluinya pada pengalaman yang lepas.
Amat jelas boleh dilihat apabila senario politik memalitkan kesulitan rakyat, YDPA akan memanggil Ketua Setiausaha Negara, Ketua Perkhidmatan Awam serta Peguam Negara yang masih kekal dengan jawatan Kuasa Eksekutif walaupun Jemaah Menteri (terdiri daripada Legislatif) telah terbubar.
Kerajaan masih boleh berfungsi seperti biasa berdasarkan undang-undang dan peruntukan kewangan melalui rang Undang-Undang Perbekalan yang telah diluluskan sebelum ini.
Ini menunjukkan jentera kerajaan yang mempunyai 1.6 juta kakitangan boleh meneruskan inisiatif kerajaan terdahulu.
Ketua Setiausaha, Ketua Perkhidmatan dan Ketua Setiausaha di setiap kementerian memain peranan penting dan terus kekal menjalankan perkhidmatan penyampaian kepada rakyat melalui Ketua-Ketua Agensi di seluruh negara tanpa perlu mendapatkan apa-apa persetujuan dari Jemaah sekali.
Ini jelas sekali apabila perkhidmatan awam adalah perkhidmatan di bawah urusan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang terus menerus menerima titah untuk menjalankan setiap aspek perjalanan kerajaan walaupun dalam tempoh sukar termasuk darurat.
Urusan di peringkat pusat melalui kementerian, di peringkat agensi negeri akan terus berjalan seperti biasa termasuk inisiatif-inisiatif yang telah dimulakan lebih-lebih lagi dalam kerajaan masih melaksanakan strategi membendung penularan pandemik Covid-19 dengan matlamat mencapai komuniti imuniti vaksin berkelompok pada Oktober ini.
Ketika inilah ketua pentadbiran kerajaan boleh memberi fokus kepada tugas berlandaskan kepada peruntukan Undang-Undang sedia ada tanpa merujuk kepada senario landskap politik tanah air yang mengheret kepada ketidakstabilan krisis kesihatan dan ekonomi negara.
Penjawat awam masih terus kekal relevan bertugas di agensi masing-masing, memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat khususnya dalam keadaan sukar menghadapi pandemik ini dengan lebih telus tanpa campur tangan pengaruh politik yang sering mencabar integriti seseorang penjawat awam.
Dalam kata mudah, di bawah naungan YDPA, Malaysia yang mempunyai jentera penjawat awam masih boleh berfungsi sebagai sebuah negara dengan masih wujudnya elemen penting kedaulatan, kerajaan, rakyat dan tanah air yang kekal merdeka dan bebas dari penjajahan minda dan fizikal.
Justeru itu, semua penjawat awam harus terus memberikan ketaatan dan kesetiaan kepada raja pemerintah melalui tugasan dan amanah yang diberikan sepertimana pengakuran dalam ikrar dan sumpah taat setia kita semasa bersetuju menerima pelantikan sebagai penjawat awam.
Penulis merupakan Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (POTENSI) Universiti Malaysia Perlis merangkap Presiden Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) – HARAKAHDAILY 18/8/2021











