75 nelayan Vietnam ditahan ceroboh perairan negara

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Dalam tempoh hampir lapan bulan tahun ini sejumlah 13 bot dan 75 nelayan Vietnam ditahan kerana kesalahan menangkap ikan secara haram di perairan negara.

Pencerobohan yang semakin serius itu menyebabkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kelantan terpaksa menggunakan segala aset yang ada bagi mengekang aktiviti itu.

- Advertisement -

Pengarahnya, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang sewenang-wenangnya mengaut dan merompak kekayaan hasil negara.

Kata beliau pihaknya mendapat kerjasama daripada Unit Udara dengan menggunakan helikopter untuk mengesan kegiatan mereka dan melaporkan kepada Maritim dari semasa ke semasa.

“Semalam Maritim Kelantan menahan dua bot dan 11 nelayan Vietnam termasuk tekong kerana menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan Kelantan.

“Bot dan nelayan berkenaan ditahan ketika sedang menangkap ikan pada jarak 94 dan 97 batu nautika dari muara Tok Bali.

“Ketika cuba ditahan oleh Kapal Maritim Tok Bali yang diketuai Left Komander Maritim Mod Sopian Mohd Nasir, kedua-dua bot cuba melarikan diri di kawasan sempadan perairan Vietnam tetapi berjaya dipintas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Tok Bali di sini hari ini.

Beliau berkata, bot dan nelayan berkenaan yang berumur antara 27 hingga 46 tahun dibawa ke jeti Maritim To Bali dengan mengambil masa selama 25 jam apabila salah sebuah bot mereka mengalami kerosakan.

Menurutnya sebanyak 800 kilogram ikan pelbagai jenis serta 7,000 liter bekalan minyak diesel, alat menangkap ikan dan bot yang kesemuanya bernilai lebih kurang RM3 juta dirampas.

Syed Nor Adli juga berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap krew. – HARAKAHDAILY 18/8/2021

- Advertisement -