
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Individu yang menjadi kontak rapat kes positif Covid-19 digesa segera membuat ujian saringan untuk mengelak berlaku jangkitan lebih meluas.
Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, tindakan itu dapat membendung supaya jangkitan wabak tidak terus menular kepada orang lain.
“Saya nasihatkan pergi segera buat ujian saringan. Jangan hanya tunggu petugas kesihatan datang ke rumah. Mereka juga banyak tugasan lain nak diselesaikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kata beliau, langkah itu untuk memastikan sama ada diri mereka berjangkit atau tidak, selain menghalang memberi risiko kepada orang lain.
Menurutnya, kebanyakan kes positif di Kedah berpunca daripada kontak rapat kerana ramai di antaranya tidak peka atau mengambil perhatian serius.
“Ada ahli keluarga mereka positif tetapi yang lain tidak bertindak melakukan saringan. Begitu juga kenalan yang berurusan dengan individu yang disahkan positif.
“Mereka pula pergi merata tempat. Sekiranya tidak dijangkiti tak apalah tetapi kalau positif, tidakkah ia memberi risiko kepada orang yang mereka temui,” ujarnya.
Justeru itu beliau mengharapkan agar individu yang terlibat tidak mengambil ringan perkara tersebut.
Walaupun katanya kerajaan kini giat menjalankan program vaksinasi Covid-19 di pelusuk kampung, namun sekiranya tiada kesedaran bersama-sama mengekang penularan wabak, ia sukar dicapai dengan segera.
“Semalam sebanyak 1,863 kes positif Covid-19 di Kedah. Jadi sama-sama membendungya dengan mematuhi SOP,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 18/8/2021











