
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup keluar daun ketum seberat lebih kurang dua tan.
Bot penyeludup itu dikesan pada kedudukan 1.1 batu nautika barat daya Pulau Batu Layang, Perlis sekitar jam 12.30 tengah malam, semalam.
Menurut Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, rampasan daun ketum itu merupakan terbesar bagi Zon Maritim Kuala Perlis dan rampasan kedua terbesar Maritim Malaysia sepanjang tahun ini.
“Rampasan pertama berlaku di perairan Kuala Kedah, pada 6 Ogos lalu dengan jumlah berat yang sama.
“Rampasan kali ini dibuat berikutan maklumat risikan dan intipan berterusan oleh pasukan operasi khas yang mengesan pergerakan sebuah bot fiber yang bergerak keluar ke arah sempadan Thailand sekitar jam 12 tengah malam.
“Bot itu dikesan dari Kuala Sanglang dalam keadaan gelap serta mencurigakan. Berikutan itu, pihaknya memintas dan menyerbu bot berkenaan,” katanya pada kenyataan media di sini hari ini.
Menurutnya, selepas menyedari kehadiran bot ronda Maritim, dua suspek yang disyaki membawa daun ketum tersebut bertindak mencampakkan kesemua bungkusan plastik hitam ke laut dan menukar haluan bagi melarikan diri ke daratan berhampiran.

Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi bungkusan yang dibuang itu, menemukan 200 bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum terapung di laut dengan anggaran berat lebih kurang dua tan bernilai RM360,000 dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.
Kata beliau, modus operandi penyeludupan keluar daun ketum dilakukan suspek terbabit didapati sama seperti tangkapan sebelum ini dengan membawa daun ketum ke sempadan Thailand untuk dipindah ke bot-bot nelayan negara itu.
“Tindakan suspek membuang bungkusan daun ketum ke laut disyaki setelah menerima maklumat daripada ‘tonto’ di Kuala Perlis yang menjadi tali barut atau ejen penyeludup,” katanya.
Menurut beliau sindiket terbabit dipercayai menggunakan ‘dron’ bagi memantau pergerakan bot-bot penguat kuasa yang sentiasa melakukan rondaan ketat di kawasan sempadan negara.
Mohd Zawawi berkata, aktiviti penyeludupan keluar daun ketum semakin aktif berikutan harga pasaran semasa di Thailand mencecah RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan (RM70).
“Maritim Malaysia percaya jenayah terancang itu dilakukan sindiket sama yang pernah diserbu dan dirampas sebelum ini,” ujarnya.
Semua hasil rampasan tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.
Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.
“Maritim Malaysia akan terus memperhebat dan meningkatkan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa.
“Kita juga meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini,” ujar Mohd Zawawi.
Oleh itu sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus hubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-985 1072 atau 04-985 1162. – HARAKAHDAILY 18/8/2021











