
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Ketegasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan integriti kerajaan perlu dijadikan ikutan generasi akan datang.
Generasi muda sepatutnya berbangga dengan adanya pemimpin yang tegas berprinsip terutamanya tidak campur tangan kes-kes membabitkan mahkamah.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya berkata, Muhyiddin seorang pemimpin yang sangat tegas dengan prinsipnya.
“Syabas saya rakam kepada perdana menteri kerana mempertahankan sikap sedemikian. Beliau sanggup mempertahankan prinsip itu biarpun terpaksa kehilangan jawatan.
“Malah ketika beliau mengambil alih kerajaan pada Mac 2020 ketika itu negara menghadapi krisis keyakinan terhadap Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Saban hari rakyat menuntut janji kerajaan yang diuar-uarkan ketika kempen pada PRU14. Kehadiran kerajaan Perikatan Nasional akhirnya berjaya memulihkan kembali keyakinan rakyat,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Menurutnya juga Muhyiddin sebenarnya bukan gagal ketika menerajui pentadbiran negara, namun muncul kumpulan yang berkepentingan sehingga menjejaskan agenda kerajaan menangani pandemik Covid-19 dan ekonomi.
Kata beliau perdana menteri sudah berada di ambang kejayaan pemulihan ekonomi dan kesihatan rakyat, namun muncul kemelut politik sedikit sebanyak membantut usaha tersebut.
“Paling jelas kejayaannya apabila rakyat tanpa segan silu memanggilnya sebagai Abah. Sepanjang ingatan saya tidak pernah berlaku seorang perdana menteri digelar abah.
“Perdana Menteri juga tidak pernah mengeluarkan kata-kata kesat menyakitkan hati kawan mahupun lawannya.
“Inilah antara keistimewaan Muhyiddin yang membuatkan rakyat begitu sayang kepadanya,” kata beliau.
Ahmad juga menasihatkan ahli dan pendukung PAS tidak perlu panik dengan kemelut yang berlaku sekarang dan meletak kepercayaan penuh kepada pemimpin atasan bagi menyelesaikannya. – HARAKAHDAILY 17/8/2021











