Kejayaan PN perangi Covid-19 makin terserlah

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

SERANGAN
virus maut, Covid-19 yang tercetus bermula pada awal tahun 2020 ternyata memberi impak kepada pelbagai sektor di Malaysia.

Paling terkesan secara langsung sudah tentu sektor kesihatan, sebelum ia berjangkit ke sektor-sektor lain terutama ekonomi dan pendidikan negara.

Selepas kira-kira setahun tujuh bulan mengganas dengan menggandakan impaknya sehingga kini muncul sebagai suatu pandemik global.

Virus yang telah menyerang seluruh dunia dengan menjangkiti dan membunuh jutaan manusia itu menyediakan medan perang yang sangat mencabar buat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selaku barisan hadapan dalam memerangi serangan Covid-19 di negara ini.

- Advertisement -

Bermula dengan gelombang pertama dan kini sedang menongkah dalam arus gelombang ketiga Covid-19, KKM di bawah pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) nyata sudah menampakkan tanda-tanda kejayaan awal dalam memerangi pandemik tersebut, selepas mula diberikan mandat  pada Mac 2020 menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum itu.

Justeru, KKM di bawah kepimpinan Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Adham Baba bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah bergabung dalam melaksanakan operasi menyeluruh yang turut melibatkan kerjasama dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN), Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Sementara, khusus untuk Lembah Klang (merangkumi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya), ia turut melibatkan operasi Greater Klang Special Task Force (GKVSTF) dan Pasukan Khas Imunisasi Covid-9 (CITF).

Jika sebelum ini, antara pencapaian KKM ialah penamatan sebanyak 60 kluster Covid-19 di Malaysia, termasuk kluster terbesar negara iaitu Kluster Sri Petaling.

Usaha gigih

Sehubungan itu dengan usaha gigih yang menyeluruh itu, terkini, hasilnya menunjukkan trend penurunan dalam bilangan kes harian dan kadar kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), selain pertambahan kadar vaksinasi untuk rakyat.

Menurut data mutakhir JKJAV, sehingga semalam (16 Ogos), sudah lebih 20 juta atau 20,554,601 penduduk Malaysia dalam kalangan populasi dewasa sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya sudah mencapai 100 peratus pendaftaran populasinya, manakala negeri-negeri lain di Malaysia sudah mencapai lebih 80 peratus pendaftaran kecuali Pahang (77.9 peratus), Kelantan (65.6 peratus) dan Sabah (48.1 peratus).

Sehubungan itu, lebih 17 juta orang dewasa (seramai 17,252,314 orang) atau 73.7 peratus telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin, manakala  hampir 50 peratus iaitu 11,060,317 orang atau 47.2 peratus populasi dewasa sudah menerima dua suntikan lengkap vaksin.

Dengan matlamat kerajaan PN sebelum ini agar kebanyakan negeri di Malaysia dapat beralih ke Fasa 4 iaitu fasa terakhir PPN seawal Oktober ini,  penambahan kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk dijangka mampu menggalakkan setiap negeri di Malaysia untuk sekurang-kurangnya beralih ke Fasa 2 PPN.

Setakat ini, tiga negeri sudah mencapai tahap negeri Fasa 3 iaitu Sarawak, Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan, manakala Pulau Pinang, Perak Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sabah pula Fasa 2.

Hanya tujuh negeri termasuk Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masih berada dalam Fasa 1.

KKM juga tidak melupakan aspek penjagaan mental petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat, ketika usaha memerangi pandemik Covid-19 sedang giat dilaksanakan ketika ini.

Ini kerana pandemik berkenaan turut memberi kesan kepada psikologi manusia.

Sehubungan itu, KKM telah mewujudkan Program Perkhidmatan Kesihatan Mental (MHPSS) termasuk melaksanakan latihan Bantuan Awal Psikologi kepada petugas khidmat kesihatan serta sukarelawan agensi lain dalam memperkasakan pengendalian emosi ketika operasi menyeluruh memerangi pandemik berkenaan.

Jelas sekali, perkembangan memberangsangkan hasil gerak kerja menyeluruh KKM  termasuk mengumumkan peluasan PICK kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun baru-baru ini, turut memberi kesan positif kepada sektor ekonomi dan pendidikan negara.

Ia membuktikan betapa kerajaan PN sudah berada di landasan yang betul  dalam memerangi pandemik Covid-19 dan bakal menggapai kejayaan!

Pakej bantuan

Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dengan nilai keseluruhan RM20 bilion yang dilancarkan pada Mac 2021, menjadi penanda aras bukti keazaman kerajaan PN peduli dan membantu rakyat yang diselubungi masalah dari segi ekonomi, impak pandemik Covid-19.

Dengan suntikan fiskal baharu oleh kerajaan ketika itu berjumlah RM11 bilion, ia memfokus kepada  20 inisiatif strategik bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan.

Kelangsungan keprihatinan kerajaan PN bagi yang cakna kepada keperluan untuk membantu rakyat dalam aspek ekonomi adalah apabila seterusnya telah  melancarkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion.

PN melalui inisiatif PEMULIH adalah bagi memastikan semua golongan rakyat di negara ini termasuk B40, M40 dan T20 agar tidak tercicir dalam memberi kesan signifikan dalam membantu meringan beban kewangan rakyat.

Beberapa inisiatif yang diperkenal antaranya untuk program pengukuhan pasaran buruh seperti Program Subsidi Upah 4.0, Bantuan Kehilangan Pekerjaan dan Elaun Mencari Pekerjaan adalah antara usaha kerajaan untuk membantu golongan pekerja dan majikan atau pemilik perniagaan.

Kerajaan juga berusaha menyalurkan bantuan sebanyak mungkin kepada rakyat antaranya seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 dan Bantuan Bakul Makanan demi memudahkan rakyat dalam menjalani kehidupan akibat bencana pandemik Covid-19 yang bernilai RM4.6 bilion di bawah PEMULIH.

Sektor pendidikan

Sementara dalam sektor pendidikan, kerajaan PN melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuktikan kredibilitinya apabila berjaya menguruskan peperiksaan penting pada tahun 2020 iaitu SPM, STPM dan STAM dengan jayanya apabila menunjukkan prestasi yang meningkat berbanding  tahun-tahun sebelumnya.

Sangat membanggakan apabila segalanya dilakukan dalam talian termasuk sistem pemarkahan dan terutama untuk SPM, pemakluman keputusan juga berjalan lancar dengan slip keputusan boleh didapati secara muat turun.

Pengumuman KPM berkenaan pengambilan guru baharu seramai 18,702 secara secara sekali gus pula membuktikan keprihatinan kerajaan PN untuk membantu isu kekurangan guru dan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah.

Kejayaan PN menangani isu pendidikan dalam kemelut pandemik Covid-19 ini diteruskan melalui tindakan strategik khusus untuk pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM 2021.

Sehubungan itu, KPM telah mengunjurkan cadangan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi agar kumpulan pelajar berkenaan seramai 357,000 orang dan sejumlah 47,000 guru diletakkan dalam kelompok penting untuk divaksin dengan kadar segera. – HARAKAHDAILY 17/8/2021

- Advertisement -