
DALAM peperangan Malaysia melawan COVID-19, warga institusi kesihatan kita adalah di antara yang paling banyak berkorban dan bersengkang mata demi memastikan kita semua dilindungi. Mereka telah mengorbankan masa bersama keluarga dan insan tersayang, tidak berkira hari-hari cuti dan perayaan, bersengkang mata berada di hospital lebih daripada masa bekerja yang biasa, malah terdedah dengan risiko yang tinggi. Tetapi, mereka tetap tekun dan komited demi negara tercinta.
Baru-baru ini saya mendapat maklumat bahawa Hospital Kuala Lumpur (HKL) memerlukan bantuan bekalan air mineral untuk menampung keperluan pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di sana.
Ustaz Nasrun Bin Abdullah selaku Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Cakna Terengganu Darul Iman (Iman Care) yang berpangkalan di Kuala Terengganu telah sudi untuk mengambil tanggungjawab menghulurkan bantuan tersebut. Saya sangat terharu dengan kesudian Iman Care memberikan sumbangan air mineral sebanyak 38,888 carton air mineral yang dibawa terus daripada kilang ke HKL.
Saya dimaklumkan oleh pegawai di sana, ini adalah sumbangan air mineral yang paling banyak dalam sejarah HKL. Ini adalah kali pertama HKL pernah menerima sebanyak 85,536 botol air mineral dalam satu sumbangan. Alhamdulillah!
Saya sangat berterima kasih kepada Ketua Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Dr. Rohana Johan yang sudi hadir bersama untuk menerima sumbangan kami.
Dr Rohana juga sempat berkongsi dengan saya bagaimana program vaksinasi secara langsung telah mengurangkan kes postif COVID-19 ditahap kritikal.
Saya berharap agar dengan sumbangan kami ini, ia dapat membantu memudahkan tugas frontliners dalam melaksanakan tugasan harian mereka memberikan rawatan dan penjagaan buat pesakit di HKL, khususnya dalam kes yang melibatkan pesakit COVID-19.
Saya doakan semua petugas barisan hadapan di HKL dan juga hospital-hospital seluruh Malaysia terus diberikan kekuatan untuk memberikan khidmat terbaik. Sesungguhnya pengorbanan murni anda semua tidak mampu terbalas oleh kami. Hanya Allah dapat memberikan ganjarannya:
وَقُلِ ٱعْمَلُوا۟ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُۥ وَٱلْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَٰلِمِ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ.
“Dan Katakanlah: “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”
(al-Taubah: 105)
Sedikit masa lagi, insya-Allah kita semua pasti menang!
Peranan Jabatan Amal Malaysia (AMAL)
Meskipun dalam keadaan suhu politik negara yang semakin panas, kami memilih untuk fokus meneruskan program membantu frontliners dan rakyat.
Saya sangat terharu melihat kesungguhan para petugas Jabatan Amal Malaysia daripada Wilayah Persekutuan dan Negeri Selangor yang membantu saya memunggah air-air mineral sebanyak 38,888 carton.
Proses pemunggahan diperlukan kerana kawasan dan tempat yang kami ingin sampaikan sumbangan kali ini tidak sesuai untuk lori trailer sepanjang 42 kaki masuk. Pilihan yang ada hanyalah menggunakan kenderaan 4×4 dan ada juga yang menggunakan kenderaan peribadi masing-masing.
Bertungkus lumus pemuda-pemuda ini memunggah bermula daripada siang hari tadi hingga ke waktu petang meskipun dalam keadaan hujan dan panas. Kakitangan Jabatan Dietik dan Sajian HKL juga memberi kerjasama yang baik. Alhamdulillah.
Saya juga ada terdengar perbualan antara mereka tadi, ‘bagaimana kalau hujan turun?’, jawab seorang lagi, ‘kita teruskan, dah lama baju seragam JAM kita ini tidak basah kerana bertugas ketika hujan!’.
Subhanallah, inilah anak muda kebanggaan PAS. Mereka walaupun ada yang dipanggil untuk berkhidmat di saat-saat akhir kerana tidak cukup anggota untuk membantu, mereka tetap turun menyahut seruan daripada pimpinan mereka meskipun terpaksa mengorbankan hari cuti santai mereka bersama keluarga yang tersayang.
Saya menyeru kepada adik-adik yang turun ke himpunan #hitam atau #lawan baru-baru ini untuk belajar hidup bermanfaat kepada orang lain seperti anggota Jabatan Amal Malaysia ini.
Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada rakan-rakan petugas JAM yang membantu saya semalam. Jazakumullahu khairan jaza’, hanya Allah yang mampu membalas segala jasa dan khidmat bakti kalian.
Siiru ala barakatillah
YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 16/8/2021
Sumber Asal:
https://www.facebook.com/678811362163260/posts/4602009453176745/
https://www.facebook.com/678811362163260/posts/4601164163261274/















