Khidmat Malaysia, LKPK BM sumbang 5,000 air mineral

- Advertisement -

BUKIT MERTAJAM : Sebanyak 5,000 botol air mineral bernilai RM2,300 telah disumbangkan oleh Khidmat Malaysia Bukit Mertajam dengan kerjasama Lajnah Kebajikan PAS Kawasan ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Pusat Kokurikulum Bukit Mertajam dekat sini, hari ini.

- Advertisement -

Projek sumbangan air mineral itu diketuai Dewan Pemuda Bukit Mertajam, Anuar Abdul Rahman serta dibantu Jabatan Amal Malaysia (JAM) Bukit Mertajam.

Kerja-kerja pemunggahan kotak-kotak air mineral ke dalam lori bermula seawal jam 8 pagi dari pusat pengumpulan barangan sumbangan di Taman Sri Janggus.

Kesemua sumbangan itu dibawa ke CAC berkenaan menggunakan lori 1 tan dan tiba ke lokasi jam 10 pagi.

Menurut Pengerusi Khidmat Malaysia Bukit Mertajam, Adnan Yusuf, program itu akan diteruskan sepanjang tempoh pusat tersebut beroperasi.

Katanya lagi, bagi memastikan sumbangan berterusan, pihaknya memerlukan bantuan orang ramai yang prihatin akan keperluan dan pesakit di situ untuk terus menyumbang.

“Insya-Allah selepas ini,sumbangan berbentuk air mineral ini akan diserahkan ke hospital Bukit Mertajam yang menempatkan pesakit Covid-19 dan juga pusat pusat kuarantin lain yang memerlukan,” katanya yang juga Ketua Lajnah Kebajikan PAS Bukit Mertajam.

Sementara itu, sumbangan berbentuk wang juga diserahkan oleh Dewan Pemuda PAS Bukit Mertajam kepada Khidmat Malaysia Bukit Mertajam melalui kutipan dari exco-exco dan Pemuda PAS cawangan terutamanya dari cawangan Bukit Teh dengan jumlah keseluruhan RM1500.

Bagi yang ingin menyumbang boleh menghubungi Saudara Adnan Yusuf 019 4440321, Saudara Shafee Hamid 0124167044 atau saudara Jalil bin Ismail 0175802654. – HARAKAHDAILY 15/8/2021

- Advertisement -