
KUALA KRAU: Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Krau telah menyampaikan sumbangan 10 kipas angin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Stadium Tun Abdul Razak Bandar Pusat Jengka, di sini kelmarin dahulu.
Ketua Muslimat PAS Kuala Krau, Rohaya Razali telah menyempurnakan serahan sumbangan ini yang diterima oleh Pakar Perubatan Keluarga Klinik Jengka, Dr Faizal Mohd Arif mewakili PPV tersebut.
Sumbangan tersebut bertujuan memudahkan urusan dan sebagai memberi keselesaan kepada 1,000 penerima vaksin yang menunggu giliran mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV tersebut setiap hari.
Menurut Rohaya, jumlah kipas sedia ada tidak dapat menampung kesesakan orang ramai sehingga ada yang berjemur dan berpanas di luar dewan lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca agak panas sekarang ini.
Berikutan keadaan sedemikian yang dilaporkan, Rohaya selaku Ahli Lembaga Pelawat Hospital Jengka, mengambil inisiatif membantu dan membuka peluang kepada Muslimat untuk turut sama menghulurkan sumbangan.
“Sambutan yang diberikan daripada Muslimat PAS Kuala Krau amat menggalakkan dan mereka telah berjaya mengumpul wang sebanyak RM2,000 untuk tujuan ini.
“Muslimat PAS Kuala Krau telah bersama-sama membantu dan kita harap sumbangan ini mampu memberi manfaat kepada PPV ini,” ulasnya yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Negeri Pahang.
Penyelaras PAS Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari turut merasa berbangga dan merakamkan penghargaan kepada seluruh anggota Muslimat PAS Kuala Krau di atas sumbangan yang diberikan.
“Saya berdoa agar Allah membalas segala amal kebaikan Muslimat sekalian. Ingatlah, sekiranya kita memudahkan urusan orang, Allah akan permudahkan urusan kita.
“Harapan saya juga semoga dengan bantuan ini seluruh penerima vaksin mampu tersenyum, gembira dan tidak lagi berkeluh kesah sekiranya mereka terpaksa menunggu lama di PPV ini,” jelas Ustaz Kamal.
Turut bersama dalam sumbangan tersebut adalah Ahli Jawatankuasa PAS Kuala Krau, Tengku Nur Zaman Engku Muhammad dan wakil Muslimat dan Pemuda PAS Kuala Krau. – HARAKAHDAILY 15/8/2021













