
Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan akan menjalankan Program Kawalan Denggi melalui Projek Wolbachia di kawasan terpilih di Kota Bharu iaitu Pondok Terusan, Pasir Tumboh dan Kubur Maras, Kota Bharu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia membelanjakan sebanyak RM120,000 atau 50 sen bagi seekor nyamuk aedes berwolbachia di setiap lokaliti dalam usaha memperkukuhkan aktiviti kawalan denggi.
Beliau berkata, projek itu adalah salah satu usaha Kementerian Kesihatan Malaysia dalam mengawal denggi.
“Nyamuk aedes berwolbachia merupakan nyamuk aedes yang disuntik bakteria wolbachia di mana bakteria ini juga terdapat secara alami pada serangga-serangga lain.
“Apabila nyamuk aedes aegypti disuntik dengan bakteria ini, ia akan merencatkan keupayaan nyamuk aedes tersebut daripada menyebarkan virus denggi.
“Nyamuk aedes berwolbachia akan memindahkan bakteria wolbachia kepada nyamuk Aedes liar semasa mengawan. Bakteria wolbachia tersebut akan diwarisi kepada nyamuk Aedes generasi seterusnya apabila ia bertelur,” katanya.
Katanya, nyamuk aedes berwolbachia bagaimanapun selamat kepada manusia, haiwan dan alam sekitar.
Ujarnya, nyamuk aedes berwolbachia hanya berkesan terhadap nyamuk aedes aegypti yang kebiasaannya membiak di dalam rumah tetapi nyamuk ini tidak dapat memberi apa-apa kesan terhadap nyamuk Aedes albopictus yang membiak di luar rumah.
Oleh itu jelas beliau, pentingnya pemusnahan tempat pembiakan di luar rumah secara berkala oleh penduduk setempat.
“Kaedah kawalan aedes ini dilaksanakan susulan kejayaan kajian rintis di lapan lokaliti di negeri Selangor yang menunjukkan penurunan kes denggi sebanyak 50 hingga 80 peratys di setiap lokaliti.
“Selain itu, kaedah ini juga dilaksanakan bagi mengurangkan penggunaan racun serangga,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/8/2021











