Selamatkah sekolah dibuka semula 1 Sept ini?

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

GOLONGAN pelajar tidak dibenarkan kembali ke sekolah menjelang September ini kecuali seluruh keluarga pelajar berkenaan dipastikan sudah menerima suntikan dos vaksin sepenuhnya!

Langkah atau syarat yang agak ‘ketat’ untuk kembali ke sekolah berkenaan pastinya, sedikit melegakan golongan ibu bapa di Malaysia yang mempunyai anak-anak yang masih di bangku sekolah tetapi diselubungi kebimbangan tentang kemungkinan anak-anak mereka itu dijangkiti Covid-19 ketika berada di sekolah.

Jangan keliru. Syarat ketat itu sebenarnya bakal dilaksanakan kerajaan China melalui satu notis yang dikeluarkan pada minggu ini di wilayah Guangxi, selain di Jiangxi dan Henan yang menurut laporan BBC, telah menggesa penduduk yang belum menerima suntikan vaksin agar segera mendapatkannya bagi mengelakkan anak-anak mereka tidak dibenarkan kembali ke sekolah.

- Advertisement -

Tindakan China itu mengikut jejak langkah Perancis dan Greece yang mewajibkan rakyatnya mendapat suntikan vaksin lengkap termasuk sebagai syarat sebelum dibenarkan antaranya untuk memasuki pasar raya, hotel dan hospital.

China ketika ini menyasarkan imunisasi kelompok mencecah 64 peratus populasinya menjelang hujung tahun ini.

Justeru, ibu bapa golongan pelajar sekolah di Malaysia buat masa ini masih perlu akur dengan keputusan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), yang pada 15 Julai 2021 telah mengumumkan bahawa sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hanya akan diteruskan sehingga 31 Ogos ini.

Sekali gus, sesi persekolahan (PdP) secara bersemuka akan kembali dibuka menjelang 1 September ini bagi pelajar-pelajar yang terlibat dengan peperiksaan di negeri-negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu Pahang, Sabah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terengganu.

Sementara, sesi PdP secara bersemuka akan kembali dibuka pada 1 September ini bagi semua peringkat pelajar di negeri-negeri Fasa 3 PPN iaitu Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Perlu diingatkan semula, PdPR dilaksanakan semula sejak Mei 2021 selepas sesi persekolahan yang kembali dibuka secara berperingkat bermula Januari 2021 kemudiannya ditutup semula menjelang April 2021, ekoran penularan Covid-19 di sekolah-sekolah seluruh Malaysia.

Agak memeningkan juga dengan senario sekolah yang sekejap dibuka dan sekejap ditutup tetapi bayangkan pula bagaimana impaknya terhadap golongan pelajar sekolah itu sendiri.

Ini kerana PdPR sebenarnya sudah dilaksanakan sejak pandemik Covid-19 menular di Malaysia sepanjang tahun lepas lagi. Justeru, PdPR sudah dilaksanakan di Malaysia selama hampir setahun setengah!

Dilema yang timbul adalah dari segi impak PdPR yang membawa kemungkinan ada golongan pelajar yang tercicir terutama di sekolah-sekolah kawasan pedalaman.

Sedangkan jika sekolah kembali dibuka pada 1 September ini dalam keadaan negara masih menunjukkan angka kes jangkitan Covid-19 yang masih tinggi, keselamatan pelajar pula berada dalam risiko dijangkiti.

Justeru, tidak menghairankan muncul pelbagai pihak yang menyuarakan pandangan agar KPM menunda perancangan tersebut sehingga kes jangkitan harian Covid-19 di negara ini berkurangan atau setidak-tidaknya, sehingga sasaran imuniti kelompok sebanyak 80 peratus populasi menjelang 10 September 2021 itu berjaya dicapai.

Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) dalam kenyataannya berharap KPM dapat mengkaji semula cadangan tersebut memandangkan kes Covid-19 ketika ini melepasi angka 20,000.

Ia juga mencadangkan agar KPM mengambil kira pandangan pemegang taruh pendidikan di negara ini termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) dan Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM) berhubung perkara tersebut.

Sehubungan itu, NUTP dalam kenyataannya pula memohon agar KPM menangguhkan pembukaan semula sesi PdP bersemuka mulai 1 September 2021 ke tarikh lain, berdasarkan kes jangkitan harian Covid-19 yang melebihi 20,000 kes dan kes kematian harian mencapai angka 100 hingga 300 orang.

Paling ‘ekstrim’ ialah petisyen dalam talian hasil kempen yang dilancarkan menerusi laman web change.org menyasarkan sokongan sehingga 100,000 rakyat Malaysia.

Sehingga jam 4 petang hari ini, 13 Ogos 2021, petisyen yang dimulakan pada Ahad lalu ditujukan kepada Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dato’ Dr Mohd Radzi Md Jidin itu telah ditandatangani seramai 80,203 orang.

Namun begitu, berdasarkan kenyataan KPM sebelum ini bahawa keputusan PdP bersemuka secara berperingkat mulai 1 September 2021 adalah mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 di negara ini serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), maka adalah diyakini KPM sedang berada di landasan yang betul.

Ada kemungkinan ia akan ditangguhkan jika senario semasa kes jangkitan harian kekal melebihi 20,000 kes, sepertimana angka kes jangkitan harian yang ditunjukkan pada hari ini, 13 Ogos 2021 sebanyak 21,464 kes.

Sementelah, ia akan dilaksanakan secara berperingkat hanya di negeri-negeri Fasa 2 dan Fasa 3 yang menunjukkan kes jangkitan Covid-19 yang rendah.

Lagipun, sehingga 15 Julai 2021, seramai 253,366 guru dan pentadbir (61.3 peratus) serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.33 peratus) sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Justeru, buat sementara waktu ini, pihak ibu bapa perlu bersabar dan bermuhasabah diri dan jangan membiarkan diri masing-masing larut dengan dakyah-dakyah negatif sesetengah pihak yang dikhuatiri cuba mempolitikkan isu ini.

Yakini kenyataan Mohd Radzi sebelum ini yang KPM akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan MKN dalam melihat sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut.

“KPM akan memaklumkan perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah sesi PdP secara bersemuka ini selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka pada 1 September ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/8/2021

- Advertisement -