Rakyat jadi mangsa ahli politik tamak kuasa

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Gabungan NGO di negara ini bimbang sekiranya kerajaan yang ada ini terbubar, tiada mana-mana pihak yang memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan.

Sekiranya keadaan ini berlaku ia sudah pasti akan menjejaskan dan meletakkan negara dalam keadaan yang amat tidak stabil. Ia akan menjejaskan usaha dan fokus kerajaan menangani Covid 19.

- Advertisement -

Pengerusi UMMAH Mohd Zai Mustafa berkata, langkah itu juga sebagai menyambut titah nasihat Sultan Selangor, Sultan Johor dan Pemangku Raja Pahang yang menitahkan pemimpin berhenti daripada perebutan kuasa dan mengutamakan kemaslahatan rakyat dan perpaduan ummah.

Katanya, kerisauan dan kekecewaan yang dizahirkan baginda Raja Raja Melayu dengan krisis politik yang tidak berkesudahan sekarang perlu ditangani semua pihak.

“Patik sekalian mewakili UMMAH dan 175 NGO Islam Malaysia menjunjung kasih kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu agar dapat meneliti rayuan patik sekalian.

“Ini supaya Duli-Duli Yang Maha Mulia campur tangan untuk menghentikan percakaran antara pemimpin parti-parti politik di negara ini dan meminta semua pemimpin supaya memberi keutamaan kepada nyawa rakyat bukannya pada percaturan kuasa,” katanya pada memorandum yang diserah kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Menurutnya juga NGO sedih dan gusar kerana kebelakangan ini pemimpin politik terus-menerus sibuk berebut kuasa dalam keadaan di mana negara sedang bergelut dengan kes-kes positif Covid-19 yang meningkat.

Seharusnya pada masa sekarang semua pihak berganding bahu dan berkongsi ikhtiar bagi memastikan program imuniti berkelompok dapat dicapai dan ekonomi negara dapat digerakkan semula.

Kata beliau jika semua itu dapat dilakukan secara bersama dan penuh istiqamah pihaknya percaya negara akan kembali pulih seperti sediakala dalam tempoh yang sepatutnya.

“Malangnya pemimpin-pemimpin politik lebih mengutamakan ego masing-masing yang berteraskan kepentingan kepartian dan bukannya kesejahteraan rakyat.

“Mereka tidak menggunakan Parlimen sebagai tempat untuk mencari kata sepakat bagi memerangi musuh bersama, sebaliknya merosakkan demokrasi dengan cara menyalahgunakan bagi kepentingan sendiri.
“Patik berpendapat isu pertukaran Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri, atau pertukaran kerajaan bukanlah perkara yang sesuai dilakukan pada masa ini kerana ia hanya akan menambahkan lagi kecelaruan sedia ada,” katanya.

Menurutnya juga 32 juta rakyat Malaysia tidak patut dipertaruhkan nyawa hanya kerana memuaskan nafsu segelintir ahli politik yang tamakkan kuasa.

Kata Mohd Zai tidak ada jaminan pertukaran Perdana Menteri atau kerajaan pada sekarang akan dapat mempercepatkan langkah membasmi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Apa yang pacal patik sekalian khuatiri ia akan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk dan nasib rakyat akan menjadi lebih buruk.

“Atas sebab-sebab di atas maka patik sekalian memohon agar Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku dapat menamatkan pertelingkahan yang merugikan agama, bangsa dan negara ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/8/2021

- Advertisement -