MB bimbang peningkatan mendadak kes positif

- Advertisement -

KANGAR: Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man bimbang peningkatan kes positif Covid-19 yang mendadak di negeri itu sejak akhir-akhir ini.

- Advertisement -

Katanya, sejak lima hari lepas, jumlah kes positif harian mencecah lebih 20 kes sekaligus menyebabkan Perlis kembali ke zon merah semula, walaupun sudah memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Saya merasakan kemasukan Perlis ke Fasa 3 dengan kebebasan bergerak dan melakukan aktiviti ekonomi lebih punca berlaku peningkatan kes harian.

“Secara kumulatif, Perlis sedang menghampiri angka 1,000 kes positif dan perkara ini amat menyedihkan,” katanya di sini, hari ini.

Namun beliau yakin majoriti rakyat Perlis sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang peningkatan kes positif.

Bagaimanapun katanya mungkin ada segelintir ahli masyarakat tidak mengambil serius soal pematuhan SOP sehingga mengundang risiko dijangkiti virus.

“Jangan terkejut jika kes-kes positif di Perlis akan meningkat secara luar biasa, atau apa yang diistilahkan sebagai ‘exponential increase’.

“Walau pun Perlis sudah memasuki fasa 3, cubalah elak untuk keluar daripada rumah. Lebih penting lagi elakkan bertemu sesiapa sahaja walau pun ahli keluarga terdekat dalam tempoh sekarang,” katanya.

Menteri Besar berharap rakyat Perlis lebih berhati-hati selepas diberi kebebasan bergerak dan menjalankan kegiatan ekonomi dalam fasa tiga.

Secara purata, Perlis mencatat dua digit bermula 1 Ogos dengan kes positif tertinggi pada 7 Ogos lalu iaitu 41 kes.

Manakala semalam Perlis mencatat 23 kes positif, di mana sebelum ini Perlis jarang mencapai angka dua digit. – HARAKAHDAILY 13/8/2021

- Advertisement -