Adun PAS junjung kasih titah Sultan Johor

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Adun tunggal PAS di Johor turut menjunjung kasih peringatan Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Alhamrhum Sultan Iskandar supaya perkara yang membawa kepada kepentingan parti dan peribadi yang sempit harus dihentikan.

Adun Bukit Pasir Kapten (B) Najib Lep berkata, beliau merafak sembah serta ucapan penghargaan tidak terhingga kepada Sultan Johor atas segala peringatan serta nasihat baginda.

“Saya mengangkat segala peringatan serta nasihat yang dititah Tuanku Sultan Johor agar amanah serta kepercayaan yang disandarkan oleh rakyat terus dipegang erat.

- Advertisement -

“Dan ia perlu dilaksanakan demi berkhidmat kepada masyarakat bagi memastikan kesejahteraan negeri,” katanya ketika dihubungi di sini.

Semalam ketika merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Ke Empat Dewan Negeri Johor Sultan Ibrahim bertitah baginda tidak akan teragak-agak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan baginda sekarang.

Menurut baginda tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri dan bukannya kepentingan rakyat.

Persidangan Dun Johor itu bagaimanapun ditangguh kepada 22 Ogos ini untuk melakukan penilaian terhadap risiko penularan pandemik Covid-19.

Najib juga berkata, persidangan Dun merupakan medan untuk membicarakan berkenaan kebajikan masyarakat dan langkah-langkah terbaik bagi membantu keluarga yang menjadi mangsa Covid-19.

“Perkara yang agak kritikal memikirkan rakyat yang terkesan teruk kerana kehilangan nafkah akibat pandemik sekarang. Selain itu ikhtiar pembangunan ekonomi.

Menurutnya juga sebagai pimpinan yang dipandang oleh masyarakat, jangan dijadikan amalan yang boleh mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan rakyat. – HARAKAHDAILY 13/8/2021

- Advertisement -