
INDERA MAHKOTA: Semua ahli politik perlu menjunjung titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menghentikan perebutan kuasa sesama sendiri.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Andansura Rabu berkata, bahkan titah Baginda supaya diberikan tumpuan kepada usaha-usaha pemulihan pandemik COVID-19 mestilah dijunjung dengan tindakan bersama bagi menanganinya.
“Perkara ini perlu dihentikan kerana ianya akan menganggu fokus ataupun menganggu tumpuan yang telah diberi, yang sedang diberi oleh pihak Kerajaan khasnya terhadap usaha-usaha pemulihan.
“Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan seharusnya menjadi fokus kepada semua terutama sekali ahli-ahli politik pembangkang, atau pun ahli-ahli politik bebas atau ahli-ahli politik yang secara picisan saja” katanya.
ADUN Beserah ini juga menegaskan, semua pihak perlu ketepikan dahulu perbezaan politik masing-masing, sebaliknya meletakkan keutamaan rakyat dan negara melebihi sentimen perjuangan politik untuk mencapai tujuan mereka.
“Kita perlu bersatu untuk memerangi virus ini dan berusaha untuk membantu menangani kemelut ini, bukan berperang sesama sendiri yang merugikan rakyat dan negara.
“Sokongan dan tumpuan kepada usaha kerajaan untuk memulihkan negara ini supaya kita sama-sama boleh melalui semula kehidupan kita seperti sebelum-sebelum ini.
“Apa yang dirancang kerajaan daripada fasa satu hingga empat adalah untuk memastikan semua aktiviti, termasuk sektor perniagaan dan sektor sosial dapat dibuka sepenuhnya menjelang Disember tahun ini.
“Justeru itu pembabitan rakyat di semua peringkat dalam melaksanakan usaha pemulihan ini dapat tercapai seperti yang diinginkan,” ujar beliau lagi.
Tengku Hassanal Ibrahim bertitah supaya menghentikan sebarang pertikaian berkaitan perebutan kuasa sesama sendiri, sebaliknya memberikan tumpuan kepada usaha pemulihan dan menangani COVID-19.
Titah nasihat itu disampaikan Baginda sempena majlis perasmian sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang 2021 secara dalam talian kelmarin dahulu. – HARAKAHDAILY 13/8/2021











