
KUALA LUMPUR: Rakyat perlu bersabar dan tenang dengan keadaan politik negara yang berhadapan dengan situasi yang tidak menentu, kata Penganalisis Politik, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakob.
Menurutnya, kepentingan politik merupakan faktor yang cukup jelas apabila ahli politik berebut kuasa kerana inginkan kedudukan.
Seterusnya, kebajikan rakyat masih berada dalam keadaan ‘gelap’ dan mereka memerlukan pentadbiran kerajaan yang cukup kukuh dan kuat.
“Kita memerlukan satu genjatan senjata politik kerana kita tidak mahu lagi berada dalam kondisi bertelagah antara satu sama lain dan ianya akan memalukan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Sebenarnya, jika ingin memajukan sebuah negara mestilah mempunyai sebuah kerajaan dan ahli politik yang kuat di kalangan rakyat yang berada dalam keadaan susah serta, berperanan membangunkan semula ekonomi negara yang berada dalam keadaan tidak menentu.
“Suka saya melihat bahawa sekiranya pemimpin negara kita bersatu-padu, kepentingan rakyat itu diutamakan dan meletakkan kepentingan politik itu sementara waktu yang sudah pastinya rakyat akan tenang dan mereka dapat menilai pemimpin yang mampu membela rakyat yang berada dalam kesusahan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam siaran Langsung di Facebook Alfa 102, Nasional FM yang bertajuk, ‘Impak Perang Politik Semasa Pemulihan Negara,’ hari ini.
Katanya, tentunya impak perang politik memberi kesan kepada keselesaan rakyat hari ini dan rasa meluat kepada pemimpin-pemimpin yang terlalu obses kepada kuasa sehingga melupakan rakyat.
“Saya sebenarnya yakin antara impak lain yang memberi kesan kepada negara kita sudah pasti bagaimana perancangan data dan politik yang telah diatur oleh kerajaan akan tergugat maka, sudah-sudahlah kita berpolitik.
“Kita perlu muncul sebagai satu masyarakat yang mampu menyelesaikan masalah negara ketika negara berada di dalam keadaan kemelut,” kata beliau.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan andai genjatan senjata politik ini tidak dihentikan, keadaan akan berhadapan dengan kesukaran.
Oleh itu, beliau mengingatkan agar kita semua kembali ke landasan yang betul kerana memajukan negara adalah keutamaan yang sebenarnya.
“Saya lihat dalam tempoh yang terdekat bahawa unsur undi percaya ini merupakan salah satu pendekatan yang terbaik untuk memastikan bahawa kesan yang positif berada dalam kedudukan negara yang sepatutnya.
“Tetapi kita juga perlu melihat alternatif lain yang boleh kita lakukan dalam tempoh sementara waktu ini bagi mewujudkan suasana keamanan dan keharmonian politik yang boleh menjadikan rakyat berada dalam keadaan selesa.
“Kita wujudkan kerajaan perpaduan seperti melantik beberapa pemimpin pembangkang untuk meletakkan mereka di kedudukan sebaiknya dalam institusi bersama kerajaan.
“Kalau kita yakin dalam kalangan pemimpin yang mempunyai satu semangat untuk membantu negara dan mereka juga mahu untuk bersama-sama menyelamatkan rakyat dan negara dalam keadaan yang sukar pada hari ini sekaligus, fungsi kerajaan itu terus kekal dan membantu rakyat.
“Saya melihat bahawa rakyat akan memilih pemimpin bukan berdasarkan parti kerana rakyat semakin kenal dan mereka semakin jelas tentang apa yang berlaku dalam negara.
“Sudah pasti mereka akan memilih calon yang memberi sumbangan yang besar, pertolongan kepada rakyat yang kesukaran dalam kehidupan dan memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan dan kemajuan negara dalam tempoh yang terdekat.
“Ini kerana rakyat sebenarnya sudah semakin bosan dan menjauhkan diri daripada politik lalu, mereka menunggu seorang negarawan yang mampu memulangkan semula kita ke arah yang lebih cemerlang seperti sebelum ini,” ujarnya.
Tambahan pula, beliau berkata bahawa rakyat mempunyai ‘track record’ pemimpin yang telah menunjukkan keupayaan mereka seperti mentadbir negara dan kredibiliti pemimpin yang mentadbir negara menjadi pilihan utama rakyat dalam PRU-15.
Justeru, beliau berharap agar teguran dan nasihatnya dapat mengembalikan kewujudan keharmonian dalam negara pada masa akan datang.
“Sudah-sudahlah kita berpolitik kerana kita mempunyai rakyat di belakang kita yang telah menunggu-nunggu. Rakyat menantikan sebenarnya siapakah yang mampu untuk memperbaiki dan mengembalikan kehidupan yang cukup luar biasa demi keselesaannya,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 12/8/2021











