Hasad dengki, fitnah runtuhkan perpaduan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sifat hasad dengki dan fitnah-memfitnah antara satu sama lain khususnya di media sosial boleh meruntuhkan perpaduan sesama ummah dan memberi kesan buruk khususnya kepada generasi akan datang.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Prof Madya Dr Mohd Fuad Mohd Salleh berkata, wajar bagi kesemua pihak menghentikan persengketaan dan sebaran-sebaran di media sosial yang boleh mengeruhkan lagi hubungan yang sudah keruh dan meningkatkan persengketaan sesama kita.

“Jika Melayu Muslim terus bersengketa, yang akan untung ialah pihak yang sentiasa mahu melihat Muslim terus bersengketa dan menuju kemusnahan

“Dan akhirnya nanti, mereka akan dapat menguasai tampuk pemerintahan negara seperti mana yang pernah berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehingga Februari 2020.

“Persengketaan tidak akan membawa kemajuan dan tidak akan dapat menstabilkan negara,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berharap agar semua pihak dapat kembali ke meja rundingan kerana itu adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan persengketaan.

“Umat Islam perlu mencontohi sifat-sifat terpuji Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dengan membuang segala sifat-sifat negatif yang ada pada diri kita.

“Dalam titah Tuanku Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyebut ia termasuk, ‘Jauhilah perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemungkaran serta sifat-sifat tercela seperti berdusta, khianat, menyembunyikan kebenaran dan menyebarkan berita palsu yang merupakan sifat-sifat orang munafik,’ titah baginda dalam intipati sempena Sambutan Maal Hijrah 1443.

“Titah Sultan Selangor ini mempunyai persamaan dengan teguran Sultan Johor dan Pemangku Sultan Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang tegas memberi peringatan bahawa situasi negara yang bergelut dengan wabak Covid-19 bukan masa sesuai untuk berebut kuasa dan bersengketa, ” ujarnya.

Menurur Dr Mohd Fuad, ketiga-tiga Sultan ini membuat teguran secara langsung apabila terdapat pihak yang seolah sengaja menimbulkan fitnah di media sosial.

Perkara itu dikhuatiri menimbulkan keresahan orang ramai, dalam masa yang sama ada kalangan ahli politik yang mengambil kesempatan menggugat kerajaan dalam keadaan genting negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Sepatutnya semua tenaga dan buah fikiran ditumpukan kepada usaha mengurus dan mengatasi wabak yang sedang melanda negara yang telah menjangkiti lebih sejuta orang dan meragut lebih 10,000 nyawa, bukan ditumpu untuk bersengketa dan jatuh-menjatuh.

“Sebagai sebuah negara yang telah mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun, rakyat terutama ahli politik dan penggubal undang-undang di Parlimen dan Dewan Negeri sepatutnya lebih matang dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat.

“Hal demikian yang dapat mendokong tinggi keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang serta ketaatan kepada raja-raja.

“Teguran-teguran sebegini sepatutnya dipandang serius oleh semua pihak seperti pemerintah, pembangkang dan rakyat keseluruhannya.

“Titah Sultan Selangor lebih jelas dengan menyebutkan sifat-sifat tercela seperti berdusta, khianat, menyembunyikan kebenaran dan menyebarkan berita palsu yang merupakan sifat-sifat orang munafik

“Perkara ini telah jelas menunjukkan kekecewaan baginda dengan apa yang sedang melanda negara khususnya di negeri Selangor,” katanya.

Apatah lagi, Selangor kini merupakan negeri tertinggi yang menyumbang angka positif Covid-19, malah turut menyumbang kepada angka kematian akibat Covid-19.

“Setiap hari berpuluh-puluh kenderaan jenazah berbaris menunggu giliran mengambil jenazah di hospital seperti Hospital Klang, Sungai Buloh, Shah Alam, Ampang dan Selayang.

“Namun keadaan seperti ini tidak dihiraukan oleh mereka yang sedang bersengketa untuk saling jatuh-menjatuh.

“Lebih malang lagi ia melibatkan ahli politik Melayu beragama Islam yang sepatutnya lebih peka dengan situasi sekarang di mana lebih 60 peratus pesakit Covid-19 orang Melayu beragama Islam,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru bersempena di Bulan Kemerdekaan ini agar semua pihak dapat kembali kepada ajaran Islam terang dan jelas yang membawa ke arah jalan penyelesaian.

Katanya, tiada masalah yang tidak boleh dirungkai dan tiada persengketaan yang tidak boleh dihentikan.

Justeru itu, beliau menyeru umat Islam menyerahkan semua ketentuan kepada Allah SWT dan kembalilah kepada penyelesaian Islam. – HARAKAHDAILY 12/8/2021

- Advertisement -