
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Surah Al-Asr yang dibaca setiap kali majlis ditangguhkan merupakan salah satu amalan para sahabat Rasullullah SAW dan mempunyai banyak kelebihannya.
Ia terkandung makna dan tuntutan tertentu mencangkumi kehidupan umat Islam di atas bumi Allah ini.
Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Ustazah Siti Mekiah Shamsudin berkata, surah tersebut mengingatkan betapa manusia itu rugi kerana tidak menjaga dan memanfaatkan masa ke jalan yang berfaedah.
“Allah bersumpah di dalam surah ini, sesungguhnya manusia ini sentiasa berada di dalam kerugian dan Dia juga memberi amaran betapa ruginya mereka yang tidak mempunyai matlamat yang betul semasa kehidupannya di dunia,” jelas beliau ketika Program Vitamin Rohani, hari ini.
Katanya lagi, ulama tafsir mengatakan masa yang dimaksudkan di dalam ayat itu juga adalah waktu asar.
Hal itu tambah beliau bersangkutan sikap kaum Arab sebelum ini yang gemar berbual-bual di waktu Asar sehingga berlaku pertengkaran dan pergaduhan.
“Sikap sedemikian telah menyebabkan ramai di antara mereka yang menyalah waktu Asar sedangkan mereka sendiri yang rugi kerana tidak memanfaatkan masa singkat itu di jalan yang baik.
“Hujah ulama tafsir itu juga menyasarkan kepada waktu Asar di mana umat Islam sering dilalaikan dengan pelbagai perkara sehingga lewat menunaikan solat Asar,” ujarnya lagi.
Selain itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pokok Sena itu juga mengingatkan peserta, kerugian yang Allah maksudkan di dalam ayat itu menyeluruh tanpa mengecualikan sesiapa jua.
Cuma, tambahnya empat golongan sahaja yang terkecuali iaitu mereka yang beriman dengan sebenar-benarnya terhadap Allah, rasul, kitab, hari kiamat dan ketentuan-Nya serta menunaikan segala yang diperintahkan.
“Golongan yang beruntung juga adalah dari kalangan mereka yang menginfakkan sebahagian harta benda ke jalan Allah dan kepada yang memerlukan selain sentiasa berpesan-pesan kepada kebenaran,” jelasnya.
Tambahnya, manakala berpesan-pesan kepada kesabaran itu bukanlah hanya tertakluk kepada si pemberi nasihat sebaliknya pemberi nasihat juga perlu menerima hal yang sama daripada orang lain.
“Sementara sabar itu pula mempunyai tiga darjat tingkatannya iaitu sabar dalam mengerjakan ketaatan terhadap Allah, sabar meninggalkan perkara mungkar (menahan diri dari melakukan dosa) serta sabar dengan ketentuan dan musibah yang menimpanya,” tambahnya lagi.
Vitamin Rohani merupakan program anjuran Dewan Muslimat PAS Kedah yang dilaksanakan secara di atas talian.
Melalui program itu para pendengar dapat mengikuti tazkirah dari penceramah terpilih secara bergilir-gilir selama 30 minit, setiap Ahad dan Selasa, 8.15 pagi hingga 8.45 pagi. – HARAKAHDAILY 10/8/2021











