Pemuda lahir 12,000 amilin melalui tarbiah

- Advertisement -

Oleh ZULFAHMI RAMLI

IPOH:
Tanggungjawab menjayakan misi jemaah dalam melahirkan 12,000 amilin terletak di atas bahu pemuda secara langsung yang mesti dijayakan melalui pentarbiahan secara berterusan.

Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Mohd Zahid Abu Bakar berkata, soal tarbiah mesti dipandang serius malah ahli gerakan Islam (pendakwah) juga hendaklah dilengkapi ilmu atau ‘thaqafah’ dalam menyampaikan risalah Islam.

- Advertisement -

“Benda yang rasa mustahil dahulu, jadi serba berkemungkinan sekarang. Apa yang penting pengisian kali ini menjadi pembakar semangat termasuk mempersiap tubuh badan yang sihat melalui aktiviti kecergasan seperti senaman ‘Fit Is Sunnah’,” ujar beliau pada Program Tamrin Qiyadi Dewan Pemuda PAS Perak di sini semalam.

Program yang julung kali diadakan secara maya itu melibatkan semua pimpinan harian dan Exco Pemuda PAS Perak serta Ketua-Ketua Pemuda PAS kawasan seluruh negeri itu.

Semua peserta memulakan slot pertama dengan menghadiri Liqa’ Fikri PAS Negeri Perak yang disampaikan , Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik.

“Tak pernah lagi kita buat tamrin secara maya. Ini memang betul-betul normal baharu. Tak sangka kita boleh bertahajud, membaca al-mathurat, mendengar kuliah Subuh dan beriadah, semuanya secara maya.

“Betullah kata pepatah, ‘nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Kita buktikan kesatuan pemikiran dan kesatuan amal tetap boleh dijayakan dalam normal baharu,” kata salah seorang peserta program, Aiman Danial Jasmi.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait dalam ucapan perasmian penutup turut berpesan semua pimpinan Pemuda PAS negeri bersama-sama mengekalkan momentum tarbiah.

“Walaupun dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan berkebetulan masing-masing mempunyai banyak masa di rumah jangan sesekali kesampingkan urusan pembinaan rohani.

“Semoga ‘Rijalud Daulah’ menjadi realiti dengan menggembeleng tenaga di semua peringkat dalam menjayakan usaha jemaah melalui tiga elemen utama, tarbiah, dakwah dan siasah,” katanya.

Dalam pada itu, slot terakhir program dipimpin Pengerusi Kelab DACS Fit Malaysia, Shafiq Khairi begitu unik apabila peserta bersenam secara berjemaah tetapi di lokasi masing-masing berpandukan video “Zoom Meeting”. – HARAKAHDAILY 10/8/2021

- Advertisement -