
BENTONG: Ahli politik sebagai pemimpin seharusnya membawa negara keluar dengan selamat dari ancaman COVID-19 serta kesan yang diakibatkan darinya ke atas kehidupan warga rakyat hingga menggugat emosi dan fizikal.
Ketua Penerangan Muslimat PAS Negeri Pahang, Yusma Yusoff berkata, sebaliknya terjadi apabila ahli politik dalam kalangan pembangkang mengheret rakyat untuk terus terjebak dalam politiking yang tidak berkesudahan.
Menurutnya, situasi sekarang amat mencemaskan dengan peningkatan penularan kes positif dan kematian harian serta hospital yang semakin sesak, ditambah kemunculan varian Delta di mana sangat pantas menjangkiti.
“Cari jalan keluar atasi masalah rakyat, itu tugas ahli politik termasuk di pihak pembangkang. Bukan terpekik-pekik membuat provokasi. Sudahlah. Rakyat dah muak dengan perangai wakil rakyat pembangkang yang tidak bertanggungjawab.
“Usahlah cuba menutup kegagalan 22 bulan mereka memerintah dengan membuang masa mencari dan mengorek salah kerajaan dan kemudian cuba menjadi jaguh berbahas dan berhujah, konon membela rakyat.
“Rakyat sudah cukup menderita. Kerajaan Perikatan Nasional telah berusaha sehabis baik mencari jalan dan membantu rakyat semampu yang boleh. Selebihnya semua pihak perlulah bersama-sama berganding bahu,” ujar.
Isnin lalu, Ahli Parlimen pembangkang dikepalai Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkumpul dan berarak dari Dataran Merdeka menuju bangunan Parlimen menzahirkan protes dan desakan terhadap kerajaan.
Virus COVID-19 jelas Yusma, belum pernah muncul sebelum ini dan sudah tentulah kepanikan berhadapan dengan situasi pertama kali ini dan mekanisma terbaik dalam menyelesaikannya perlu terus diusahakan semua pihak.
“Semua pihak perlu bertenang dan bersabar. Jangan cepat menuding jari mengatakan kerajaan gagal. Tiada mana-mana pemimpin di dunia mahu ketika pertama kali dia duduk di kerusi Perdana Menteri, dia minta hadiah ‘kesakitan’ sebegini dahsyat.
“Dan belum pernah terjadi dalam sejarah negara, seramai 7 orang Perdana Menteri Malaysia terdahulu, sebaik duduk di bangku kegilaan ramai ini, terus dihadapkan dengan musibah terhebat pertama kali tercetus dan sekelip mata menyerang seluruh dunia,” ujarnya.
Katanya, Muhyiddin mungkin hanya sempat sekali tersenyum sebaik menerima jawatan itu, tetapi beliau menanggung usaha untuk menyelamatkan negara ini daripada ancaman yang ada di mana ia bukan tanggungjawab mudah.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga kata Yusma, sudah berulang kali bertitah menegur supaya ahli-ahli politik menghentikan politiking dan menumpukan usaha menangani cabaran ketika ini.
“Lihatlah, adakah ia sudah berakhir? Bukan rakyat keutamaan ahli politik pembangkang. Nafsu mereka besar dan tidak akan pernah puas sampai bila-bila selagi mereka tidak dapat balik kuasa yang mereka dakwa itu adalah hak mereka.
“Sedang mereka lupa bahawa tangan merekalah yang pernah mengotorkan lalu melepaskan dan kini mahu dilihat seolah-olah sebagai penyelamat rakyat,” bidas Yusma lagi. – HARAKAHDAILY 6/8/2021




















