Medan ujian gelombang ketiga Covid-19 makin mencabar

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

SEPERTI
tiada kesudahan, gelombang ketiga Covid-19 yang sedang melanda Malaysia ketika ini semakin menggunung tinggi.

Ia dibuktikan melalui catatan kes jangkitan harian Covid-19 yang mencecah 20,000 yang dicatat semalam, 5 Ogos 2021 (sebanyak 20,596 kes) selepas ia mula mencecah angka 10,000 kes bermula 13 Julai 2021 (11,079 kes).

Dan pada hari ini, 6 Ogos 2021, kes jangkitan harian yang dicatat meningkat kepada 20,889 kes! Sudah pasti senario terkini itu menimbulkan perasaan kebimbangan berganda dalam kalangan rakyat jelata. 

- Advertisement -

Namun, sebagai manusia yang masih mempunyai akal fikiran, kita seharusnya jangan cepat melatah sehingga membuak-buak nafsu amarah. Sebaliknya kita perlu bermuhasabah diri, khususnya bagi umat Islam.

Setiap perkara yang berlaku ada sebab musababnya. Apabila sesuatu itu berlaku, cara bagaimana kita mahu menangani perkara tersebut adalah sangat penting dan sebagai orang Islam, kita harus akur akan semua ini adalah sebahagian ujian daripada Allah SWT terhadap umat manusia.

Jangan lupa akan hakikat bahawa kita diberi peluang untuk hidup di muka bumi sekarang ini adalah atas belas ihsan dan kehendak Allah SWT. Dalam erti kata lain, dunia ini hanya dipinjamkan Allah SWT kepada kita sebagai hamba-Nya.

Apabila kita sudah menyedari dan menerima akan hakikat tersebut, kita akan berada dalam fasa ketenangan tanpa perlu melatah bagi menangani masalah yang sedang kita alami itu.

Hakikatnya, punca utama gelombang ketiga Covid-19 yang semakin diamuk cabaran yang menggila ketika ini sudah tentu akibat kemunculan varian terbaharu, sebagaimana disahkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Shafiq Abdullah melalui sidang media secara maya pada hari ini, 6 Ogos 2021.

Dalam sidang media yang sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) merangkap komander Greater Klang Valley Special Task Force, Datuk Dr Chong Chee memperincikan bahawa jangkitan utama di Lembah Klang adalah disebabkan varian Delta dan usaha untuk melandaikannya akan mengambil masa kerana varian tersebut mempunyai kadar kebolehjangkitan yang berbeza.

Trend peningkatan Covid-19 ketika ini menurut Chong adalah impak kumulatif daripada kemunculan varian tersebut sejak sebulan yang lalu. Di Malaysia, hasil surveilans genomik telah mengesan 13 kes jangkitan varian Delta setakat 10 Jun 2021.

Varian Delta mula dikesan di India pada Oktober tahun lepas dan kini telah merebak ke 80 buah negara seluruh dunia.

Sebagaimana diumumkan KKM, kita harus menerima hakikat dalam tempoh tiga bulan mendatang ini, kita akan berperang dengan varian Delta, selepas berjaya mengawal varian Alpha yang berasal dari United Kingdom dan mula menular di Sabah sebelum ini.

Dan jangan lupa, semua negeri di Malaysia ketika ini dikesan berlaku penularan jangkitan angkara varian Beta yang berasal dari Afrika Selatan, tetapi yang paling dominan saat ini sudah tentu varian Delta atas kebolehannya sebagai varian mutasi berganda.

Sebenarnya perang varian Delta yang kita baru alami sekarang ini dan sekurang-kurangnya tiga bulan akan datang, sudah pun diramalkan akan berlaku sebelum ini. Kita sudah pun diingatkan tetapi adakah kita membuat persediaan dalam menghadapinya?

Jelas sekali kerajaan melalui KKM khususnya telah berusaha keras bagi memberi amaran dan panduan kepada rakyat dalam menghadapi serangan Covid-19 di negara ini.

Dalam  kenyataan media pada 10 Februari 2021, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes harian jangkitan Covid-19 di Malaysia pada tahun ini diramalkan meningkat sehingga 20,000 kes setiap hari bermula 3 Mac 2021.

Beliau ketika itu merujuk kepada hasil kajian Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME), Amerika Syarikat. Pada masa yang sama, Noor Hisham telah menyeru rakyat untuk sama-sama berusaha menurunkan angka jangkitan Covid-19 yang diramalkan IHME.

Agar ia sama seperti ketika negara berjaya merendahkan bilangan kes harian Covid-19 hanya sekitar 4,000 kes pada April 2020, sedangkan agensi penyelidikan JP Morgan sebelum itu meramalkan ia meningkat kepada 6,300 kes pada pertengahan bulan tersebut.

Tarikh 3 Mac 2021 yang ditunggu-tunggu dengan penuh debaran itu pun menjelma. Bagaimanapun hanya 1,745 kes jangkitan dicatat pada tarikh tersebut, jauh tersasar daripada ramalan 20,000 kes oleh IHME. Sebaliknya kes jangkitan harian hanya mencecah ke angka 20,000 kes bermula semalam, 5 Ogos 2021.

Sebagai rekod berdasarkan kenyataan KKM, gelombang ketiga pandemik Covid-19 tercetus bermula pada 20 September 2020 bermula di negeri Sabah, selain melibatkan juga negeri lain di Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Kedah dan sebagainya.

KKM juga sebelum itu mengesahkan negara mula memasuki gelombang kedua Covid-19 bermula pada 27 Februari 2020 selepas 11 hari tidak mempunyai kes baharu.

Ia adalah ekoran gelombang pertama Covid-19 di negara ini yang tercetus pada 25 Januari 2020 melalui kes pertama jangkitan virus tersebut membabitkan tiga warga negara China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari 2020.

Begitulah ngerinya urutan serangan Covid-19 di Malaysia setakat ini, dan dalam kita berharap agar gelombang ketiga virus tersebut  berjaya disurutkan, kita sebenarnya sudah diingatkan KKM  akan ada ancaman daripada gelombang keempat pula.

Sedari akan hakikat sesuatu penularan penyakit hanya dianggap gelombang seterusnya jika jangkitan tempatan ketika gelombang semasa sudah mendatar atau mencatat kes sifar selama beberapa hari, sebelum berlaku peningkatan kes baharu secara mendadak.

Justeru tindakan kita dalam menghadapi gelombang ketiga perang Covid-19 yang berlaku di negara kita ketika ini adalah dengan  berusaha persiapkan agar diri segera divaksinkan, patuhi SOP dan selebihnya mendekatkan diri kepada Allah, bahawa kita sebenarnya kini berada dalam medan ujian Pencipta dunia di era akhir zaman ini. – HARAKAHDAILY 6/8/2021

- Advertisement -