
KUALA LUMPUR: Sehingga 1 Ogos lepas lebih tiga juta warga emas di negara ini menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Rina Harun berkata, daripada jumlah itu sebanyak 2,249,249 individu menyelesaikan kedua-dua dos tersebut.
Katanya, sebanyak 95 peratus daripada 3.15 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas telah divaksinasi.
“Manakala 76 pertus daripada 454.639 orang kurang upaya (OKU) yang mendaftar dengan MySejahtera telah menerima dos vaksin pertama dalam tempoh yang sama.
“Di mana 149,188 daripada mereka telah menyelesaikan kedua-dua dos tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas mengunjungi pusat vaksinasi (PPV) di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Nasional (LPPKN) hari ini.
Rina berkata, usaha sedang dilakukan untuk mempercepat vaksinasi untuk kedua kelompok terbabit dengan kerjasama LPPKN melalui mobilisasi PPV bergerak.
“Melalui Program Jangkauan Vaksinasi Covid-19, warga tua dan OKU yang menghadapi masalah kesihatan akan diberi vaksin di rumah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/8/2021











