Varian Delta faktor kes Covid di Kelantan meningkat

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Berhati-hati dengan varian Delta kerana virus paling bahaya itu tidak hanya berpusat di satu jajahan, sebaliknya akan merebak ke kawasan lain dengan cepat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dato’ Dr Zaini Hussin berkata, kewujudkan varian itu juga dipercayai menjadi penyumbang kepada peningkatan jangkitan Covid-19 yang ketara di negeri itu kebelakangan ini.

- Advertisement -

Katanya, setakat ini varian berkenaan hanya dikesan di Pasir Puteh, namun tidak menolak kemungkinan varian tersebut turut tersebar di daerah lain, termasuk Bachok dan Tanah Merah.

“Setakat ini hanya satu kes dikesan membabitkan varian Delta dan sebanyak 74 sampel lagi belum diketahui keputusannya.

“Kelantan mencatat 16 kluster baharu setiap hari disebabkan virus sudah berada dalam komuniti. Sebanyak 123 kluster aktif sehingga semalam,” katanya ketika ditemui di Pusat Vaksinasi Hotel Grand Riverview di sini, hari ini.

Kata beliau semalam sahaja terdapat enam kluster baharu termasuk Kluster Kampung Tok Junuh Mahligai di Bachok yang membabitkan kanak-kanak berusia lapan tahun.

Menyentuh tentang peningkatan mendadak kes harian Covid-19, Dr Zaini berkata peningkatan itu juga disebabkan orang ramai gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Kita melihat trend peningkatan kes di negeri ini begitu cepat dan meluas. Kemungkinan varian Delta bukan sahaja dikesan di Pasir Puteh tetapi juga berada di daerah lain,” katanya.

Terdahulu beliau meninjau proses vaksinasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah program imunisasi kerjasama awam dan swasta (Pikas).

Sehubungan itu beliau berharap masyarakat patuh SOP dan tidak berada di tempat sesak, melainkan terdapat urusan penting. – HARAKAHDAILY 2/8/2021

- Advertisement -