Pembangkang perjuang kuasa politik, bukan agenda rakyat

- Advertisement -

MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Perhimpunan di luar Parlimen hari ini yang dilakukan ahli parlimen pembangkang dianggap mengundang persepsi negatif rakyat ketika penularan varian Delta sekarang.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ariff Abdullah berkata pihaknya kesal kerana golongan itu tidak prihatin terhadap nasib rakyat yang sedang berhadapan dengan wabak tersebut.

Menurutnya, pembangkang juga menolak kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendedahkan 50 individu dijangkiti di Parlimen dan empat daripadanya membabitkan varian Delta.

- Advertisement -

“Mereka sanggup mengadaikan nyawa rakyat yang sedang berhempas pulas berhadapan dengan Covid-19, sebaliknya ahli politik memilih untuk terus berebut untuk mendapatkan kuasa.

“Desakan untuk membuka sidang khas Parlimen terus dilakukan walaupun penangguhannya telah diumumkan kerana isu keselamatan nyawa apabila berlaku penularan wabak,” katanya di sini.

Hari ini pembangkang berhimpun untuk memasuki bangunan parlimen biarpun peringatan diberi KKM berikutan penularan pandemik di parlimen.

Malah lebih melucukan lagi apabila Ketua pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilapor mendakwa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang sokongan majoriti di parlimen.

Kenyataan seperti bukan sudah beberapa kali dibuat pemimpin terbabit sebelum ini.

Mohd Ariff berkata desakan pembangkang bukan untuk memperjuangan nasib rakyat ketika pandemik, sebaliknya bagi memastikan kelangsungan politik sempit sahaja.

“Sidang khas Parlimen minggu lepas menjadi bukti kerakusan pembangkang mengkritik agenda kerajaan tanpa sebarang idea yang bernas untuk dilaksanakan kerajaan.

“Malah sepanjang sidang parlimen itu pembangkang hanya sibuk melaungkan dan menjerit berbanding menyuarakan masalah yang dihadapi rakyat ketika pandemik sekarang.

“Mereka gagal menggunakan peluang itu demi kebaikan rakyat. Kerajaan sekarang tidak wajar dilabelkan gagal kerana apa yang berlaku tidak mendapat kerjasama baik daripada pembangkang,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2021

- Advertisement -