
Oleh ZULKEFLI HUSSIN
PASIR PUTEH: Seramai 140 Orang Kurang Upaya (OKU) berumur 18 tahun ke atas dan penjaga masing-masing menerima suntikan dos pertama.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh Wan Norhayati Wan Hussin berkata, mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk cacat pendengaran, penglihatan dan fizikal.
“Mereka dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Limbongan, Selising, Gaal Dan Semerak,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian vaksin bertempat di masjid Padang Pak Amat di sini semalam.
Turut hadir Adun Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim dan Adun Limbongan Mohamad Nazlan Hasbullah.
Wan Norhayati berkata mereka yang mendapat suntikan tersebut dipilih daripada dalam kalangan yang berdaftar dengan PDK sahaja.
Wan Hassan ketika ditemui berharap pihak berkenaan memberi suntikan dari rumah ke rumah terhadap OKU yang terlantar sakit.
Beliau berkata golongan terbabit tidak mampu hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kerana sakit walau pun Pusat Khidmat Dun Semerak menyediakan kenderaan secara percuma.
“Di kawasan saya hanya 8 daripada 18 OKU yang mampu hadir hari ini,” katanya.
Sementara itu seorang ibu Maziani Mohd Ghazali, 55 berkata, anaknya Norhidayah Wahida Mat Lawi, 30 tidak sabar untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Kata beliau anaknya yang tidak boleh bercakap, bangun awal pagi dan bersiap sedia untuk mendapatkan suntikan.
“Norhidayah merupakan anak ketiga daripada tujuh adik beradik, namun dia tidak banyak kerenah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/7/2021











