
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Semua pemimpin dan ahli politik perlu mengutamakan perkara yang perlu menjadi keperluan rakyat sekarang dan bukannya cuba mengejar impian politik murahan.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya berkata, rakyat masih lagi dibelenggu masalah kesihatan dan ekonomi akibat penularan pandemik Covid-19.
Katanya, mana-mana pemimpin hendaklah memberi keutamaan kepada dua aspek tersebut dan bukannya bersaing bagi merebut kuasa politik dengan impian mahu menukar kerajaan.
“Apakah dengan pertukaran Perdana Menteri ada jaminan kes positif Covid-19 boleh dikurangkan ke angka sifar.
“Cuba kita tengok dahulu negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) seperti Selangor juga gagal menangani wabak terbabit.
“Malah negeri itu menyumbang kes paling tinggi sehingga sekarang. Jadi bolehkah kita serah negara kepada pemimpin seperti itu,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya impian pihak terbabit silap langkah boleh mencetuskan polemik lebih besar sehingga mengundang pelbagai masalah lain pula.
Lagi pun kata Ahmad, banyak perkara yang sesetengah pihak cadangkan kepada kerajaan sudah dalam tindakan seperti yang terkandung dalam Pelan Pemulihan Negara diumumkan baru-baru ini.
Kata beliau apa yang penting sekarang semua pihak termasuk rakyat perlu bersatu hati tanpa mengira fahaman dan kecenderungan politik.
“Fokus yang lebih utama keselamatan dan kesihatan rakyat. Negara sedang berhadapan dengan masalah pandemik Covid-19 dan ekonomi. Sangat wajar semuanya bersatu hati,” katanya.
Beliau juga berkata, kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yaasin juga sudah terbukti mendapat sokongan kesemua jemaah menteri yang juga terdiri daripada pemimpin Umno dan parti-parti lain. – HARAKAHDAILY 15/7/2021











