
ALOR SETAR: Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd atau MADACorp telah menyalurkan bantuan sumbangan COVID-19 berupa 1,000 kampit beras melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah.
Majlis penyerahan bantuan ini disempurnakan Pengerusi MADA, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman, kepada Ketua Polis Kedah, Dato’ Kamarul Zaman Mamat bertempat di Ibu Pejabat MADACorp, Menara Peladang, di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif MADACorp, Mohamad Anuar Pir Mohamad berkata, inisiatif itu bagi meneruskan misi bantuan kepada masyarakat yang terkesan dengan COVID-19 ketika ini di seluruh negeri ini.
Menurutnya, MADACorp menyumbangkan melalui pihak PDRM sebagai tanda sokongan ke atas usaha PDRM Negeri Kedah dalam menjalankan ‘Ops Bantu’ yang dianjurkan.
Selain itu juga, penyerahan bantuan ini merupakan salah satu inisiatif pihak MADACorp dalam menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada rakyat negeri Kedah yang terkesan disebabkan oleh wabak COVID-19.
MADACorp dalam proses mengeluarkan beras jenama sendiri dengan kapasiti pengeluaran 10,000 kilogram sebulan mulai Ogos ini sebagai satu langkah pelibatan yang lebih holistik dalam rantaian pengeluaran industri padi.
Beras keluaran MADACorp bakal didapati di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan juga secara atas talian di Myraga.com.my. – HARAKAHDAILY 15/7/2021












