Penting bersama perangi COVID-19, jauhi kepentingan diri

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Segala usaha dan perjuangan untuk menangani COVID-19 oleh kerajaan perlu didukung bersama dan tidak berputus asa, demi menjaga nyawa seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik. 

ADUN Beserah, Andansura Rabu menyeru agar setiap ahli masyarakat mengembleng seluruh tenaga dan tumpuan bagi mengatasi pandemik COVID-19 ini dari terus menular dalam kalangan rakyat dan mencatatkan peningkatan.

- Advertisement -

“Kita perlu gembleng tenaga dan membawa negara keluar daripada pandemik ini dalam kadar yang segera. Kita perlu elakkan sebarang ketidaktenteraman sama ada dari sudut kesihatan, dari sudut politik dan juga ekonomi,” katanya. 

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang mengulas demikian sebagai menyahut seruan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam tulisannya yang terbaharu, kelmarin.

Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang terus menyeru semua pihak menghentikan politiking sebaliknya menumpukan perjuangan menangani cabaran COVID-19 dihadapi seluruh dunia ketika ini. 

Kata Andansura, kebersamaan rakyat dan kerajaan dalam usaha memerangi COVID-19 penting sehingga perancangan untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat direalisasikan.

Jelasnya, pasukan barisan hadapan telahpun berusaha dengan penuh gigih mengambil langkah pencegahan khususnya meningkatkan jumlah suntikan vaksin bagi menyelamatkan rakyat dan negara.

“Alhamdulillah buat masa ini kita telah mencapai tahap vaksinasi yang tinggi dan akan diteruskan lagi sehingga kita jangka kita akan dapat mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober 2021 nanti,” tambahnya lagi. 

Beliau juga mengharapkan agar rakyat bersabar dan bertenang terutama sekali ahli-ahli politik dapat memberikan tumpuan dan sokongan kepada PPN sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan. 

Presiden PAS turut menegaskan bahawa semua pihak wajib memainkan peranan bagi menyelamatkan keadaan yang mencabar seperti ini secara bersama dan menolak segala kepentingan peribadi, puak dan kumpulan. – HARAKAHDAILY 14/7/2021

- Advertisement -