
KANGAR: Biarpun Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berdepan dengan pelbagai cabaran mengharungi gelombang pandemik Covid-19, namun kebajikan rakyat tetap diutamakan.
Kerajaan tetap berusaha membawa khabar gembira kepada rakyat termasuk masyarakat peneroka, yang sebelum ini berkorban tenaga bagi membangunkan kawasan hutan belantara.
Pada 9 Julai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju pada dasar cadangan Felda bagi melupuskan sebahagian daripada RM8.3 bilion hutang peneroka.
Seorang peneroka, Omar Bakar dari Felda Mata Ayer, Padang Besar menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana mengambil keputusan untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka.
“Kita mengucapkan rasa syukur kepada pihak kerajaan hari ini kerana mengumumkan pelupusan sebahagian hutang tersebut.

“Biarlah kalau ada yang mengatakan ada perkara lain di sebalik pelupusan hutang ini, tetapi itu terpulang kepada mereka. Jika diikutkan mereka semua perkara tidak betul,” katanya di sini.
Di Perlis terdapat tiga Tanah Rancangan Felda iaitu Felda Chuping, Felda Rimba Mas dan Felda Mata Air. Felda Chuping mempunyai 447 peneroka, manakala Felda Rimba Mas (161) dan Felda Mata Air (249).
Generasi kedua Felda Chuping, Padang Besar, Hamizan Ahmad pula menyifatkan keputusan kerajaan itu sebagai satu khabar gembira buat seluruh peneroka Felda di negara ini.
“Kalau boleh kita mahu 100 peratus hutang dihapus tetapi perlu juga diambil kira situasi negara sekarang yang memerlukan kerajaan memberi keutamaan kepada menangani Covid-19 dan ekonomi negara.
“Apabila kerajaan umum untuk melupuskan hampir 50 peratus lebih hutang peneroka kami di Felda Chuping cukup bersyukur dan berterima kasih,” katanya.
Oleh itu sebagai generasi kedua peneroka beliau berharap kerajaan melaksanakan perkara itu secepat mungkin.
“Bukan senang untuk nak selaras penyata hutang sebab ia berkait dengan pewaris, masalah yang akan timbul di penyata hutang ialah pewarisan,” ujarnya.
Beliau turut berharap kerajaan menyelesaikan masalah pewarisan sebaik mungkin supaya tidak timbul masalah dalam kalangan generasi kedua selepas kedua ibu bapa mereka tiada lagi. – HARAKAHDAILY 14/7/2021




















