
Oleh NOR HAZWANI NOH
KUALA LUMPUR: Perkembangan politik negara tidak pernah sunyi daripada pergolakan dan kemelut yang berpunca daripada pemimpin-pemimpin politik yang rakus dengan matlamat untuk berkuasa, kata Penganalisis Politik dan Pentadbiran, Dr Mohamad Tawfik Yaakub.
Kata beliau, ini berpunca daripada kegagalan sesetengah pemimpin yang telah hilang jiwa mereka untuk mengutamakan kebajikan dan kepentingan rakyat ketika negara berhadapan dengan wabak Covid-19 yang mengancam kehidupan mereka.
“Bagi saya rakyat hari ini semakin matang dan bijak dalam menilai perwatakan pemimpin yang rakus dengan kuasa serta rakyat akan menghukum pemimpin sedemikian dalam PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) nanti.
“Namun sebelum rakyat menghukum pemimpin-pemimpin politik rakus ini, kerajaan perlu bertindak tegas dan jangan berterusan membiarkan anasir-anasir jahat yang merosakkan perpaduan dan ketenteraman kehidupan rakyat.
“Jika dibiarkan anasir-anasir ini berleluasa, saya khuatir akan menjadi barah yang sukar dikawal dan menyebabkan negara kucar kacir,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tulisan Minda Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berjudul ‘Perjuangan Menangani Covid-19 Belum Selesai’ yang ditulis pada 12 Julai.
Dalam konteks hari ini, kata Dr Mohamad Tawfik, setiap lapisan masyarakat termasuk pemimpin parti politik perlu mengenepikan sementara perseteruan politik yang tidak pernah berakhir.
Selain itu, masyarakat juga perlu sama-sama mengembleng usaha membantu rakyat melalui pelbagai platform.
Hal ini kerana katanya, rakyat sendiri sudah letih, bosan dan muak dengan perbalahan pemimpin politik. – HARAKAHDAILY 13/7/2021











