
Oleh NOR HAZWANI NOH
KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor menyangkal dakwaan segelintir pihak yang mengatakan kerajaan gagal menguruskan Covid-19.
Hal ini kerana beliau berpendapat bahawa kenyataan itu berbeza dengan prestasi tahap vaksinasi Malaysia, iaitu purata vaksinasi harian yang kini berada di kedudukan nombor dua terbaik di dunia secara mingguan.
“Kelmarin seramai 400,000 lebih rakyat telah divaksinkan dalam tempoh 24 jam.
“Kalau kita lihat angka positif Covid-19 meningkat di negara ini, kita harus sedar kelmarin di United Kingdom, negara maju yang disifatkan sebagai petunjuk dan indikator, seramai 30,000 orang positif Covid-19 dalam tempoh 24 jam,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.
Tambah beliau, sebagaimana yang diketahui, fenomena Covid-19 ini bukanlah bersifat lokaliti tetapi ia fenomena yang melanda dunia dengan jumlah korban sebayak 3 juta orang.
Bahkan di Malaysia lebih 5,000 rakyat terkorban sejak pandemik itu melanda.
Sementara itu, kata Riduan, jika dilihat di negara lain seperti Indonesia, Thailand, kebanyakan mereka tidak memberi sumbangan bakul makanan dan talian hayat. Bahkan, rakyat masing-masing perlu bertahan untuk hidup.
“Berbeza dengan negara kita pelbagai inisiatif diadakan oleh pihak kerajaan untuk membantu rakyat sama ada kerajaan pusat atau negeri, pelbagai bantuan jangka pendek diberikan kepada rakyat untuk makan, bertahan dalam tempoh pendemik ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tulisan Minda Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berjudul ‘Perjuangan Menangani Covid-19 Belum Selesai’, semalam.
Ahli Parlimen Marang itu dalam tulisannya mendakwa bahawa hanya mereka yang masih gila berpolitiking membuat kenyataan bahawa Malaysia sudah gagal menangani wabak Covid-19, seolah-olah mereka berada di planet lain bukan di alam bumi.
Riduan berkata, dalam situasi pandemik yang meragut nyawa ini, sepatutnya pelbagai pihak mestilah rasional, bersabar daripada bermain politik, fokus kepada usaha menangani Covid-19, serta saling melengkapi antara satu sama lain.
“Tanggungjawab untuk berdepan dengan Covid-19 bukan sekadar kerajaan sahaja tetapi juga terletak di bahu rakyat terutama melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan bukan kerajaan Islam (NGI).
“Kalau kita saksikan banyak ruang dan peluang dilakukan oleh masjid surau, badan-badan kebajikan penduduk, NGO di peringkat lokal mestilah berperanan untuk membantu rakyat yang susah dan terkesan.
“Kita faham ramai yang terkesan pandemik ini, ramai yang hilang pekerjaan, bahkan yang mati kerana tekanan juga lebih 1,000 orang.
“Maka pada masa ini, perlunya semua pihak bergabung menyumbang untuk negara bukan mencari salah.
“Contohnya seperti yang dilakukan oleh Dato’ Seri Najib, saya rasa satu sikap yang tidak profesional sebab setiap hari melakukan usaha untuk meremehkan kerja kerajaan, mencari peluang untuk menghentam kerajaan.
“Sebagai seorang NGI bahkan tokoh politik yang berpengaruh, mantan Perdana Menteri sewajarnya Dato’ Seri Najib memainkan peranan untuk membantu rakyat, menyediakan bakul makanan.
“Saya rasa dengan populariti yang Dato’ Seri Najib (miliki) itu bukan sahaja dapat membantu kawasan pekan Pahang tapi boleh membantu bergerak daripada satu tempat ke satu tempat bersama relawan-relawan penyokong Dato’ Seri Najib.
“Apatah lagi beliau juga mempunyai aset yang besar dan mampu untuk melaksanakan crowd founding berdasarkan populariti yang beliau miliki itu,” katanya.
Beliau dalam masa sama berharap agar rakyat bertenang, bersabar dengan ujian besar yang masih tidak diketahui penghujungnya serta menyeru umat Islam membuka pergantungan yang luas kepada Allah dengan banyak bermuhasabah, berzikir dan bertaubat. – HARAKAHDAILY 13/7/2021











