
KOTA BHARU: Kerajaan akan menyelesaikan segera isu mengenai pengiktirafan vaksin Covid-19 dalam tempoh terdekat agar kerajaan Arab Saudi boleh menerima kesemua bakal jemaah haji yang telah mendapat suntikan vaksin seperti diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary bagaimanapun berkata, kerajaan menyerahkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk melakukan rundingan dengan kerajaan Arab Saudi mengenai perkara itu.
Katanya, setakat ini kesemua vaksin yang dibekalkan oleh kerajaan Malaysia adalah diiktiraf oleh WHO.
“Insya-Allah, dalam masa terdekat ini kita berharap kerajaan Arab Saudi menerima semua vaksin yang diktiraf oleh WHO. Malah, kesemua vaksin yang digunakan di Malaysia juga adalah diiktiraf oleh WHO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir Majlis Penyerahan Sumbangan Inspirasi Qaseh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), di Kampung Sering, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, kesepakatan perlu ada dalam menentukan dasar Imigresen susulan kepelbagaian penggunaan vaksin Covid-19 di seluruh dunia ketika ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, ia perlu bagi mengelakkan kekeliruan apabila timbul isu pengiktirafan vaksin tertentu di negara seperti Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU).
Beliau berkata, setakat ini, semua pihak termasuk Malaysia yang menggunakan pelbagai keluaran vaksin, masih belum mengetahui dasar Imigresen sebahagian besar daripada negara di dunia kerana ia belum dimuktamadkan.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Marzuk turut memaklumkan kesemua jemaah Malaysia yang gagal menunaikan rukun Islam kelima itu pada tahun ini sudah dimaklumkan lebih awal.
“Tahun ini kita memang tidak menghantar jemaah. Kerajaan pun juga telah putuskan berkenaan perkara tersebut.
“Jadi kesemua telah pun dimaklumkan. Dan alhamdulillah kesemua mereka dapat menerima dengan baik selain pihak kami turut memberi motivasi dan semangat susulan kegagalan mereka menunaikan haji disebabkan kekangan pandemik Covid-19,,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/7/2021











