Pemuda Pekan simpati nasib ‘rider’ FoodPanda

- Advertisement -

PEKAN: Dewan Pemuda PAS Kawasan Pekan telah menyantuni dan menziarahi seorang penghantar makanan (rider) FoodPanda yang telah terlibat dalam kemalangan di kediamannya di Taman Sepekan Jaya, di sini kelmarin.

Muhammad Khoiruddin Razali, 27, mengalami kecederaan yang agak serius berikutan terlibat dalam kemalangan tersebut di mana telah mengakibatkan beliau tidak dapat bekerja seperti sebelumnya.

- Advertisement -

Kejadian yang berlaku di Jalan Beserah Kuantan itu, telah menyebabkan beliau mengalami kecederaan patah sebatang gigi, luka di bawah dagu, patah tangan kiri dan tulang pinggul teralih.

“Masa kejadian tu,saya baru dalam perjalanan untuk sarapan sebelum mula kerja. Tengah bawa motor, tiba-tiba saya tak sedar dan berlanggar.

“Saya berada dalam wad,lebih kurang 23 hari sebelum dibenarkan balik ke Pekan dan tulang pinggul saya kena operate masuk plat besi dan lapan skru,” imbas beliau.

Beliau yang baru lapan bulan bekerja, akur dengan saranan pegawai  perubatan bahawa beliau sudah tidak dapat bekerja seperti biasa dan perlu mendapatkan rawatan susulan setiap bulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Atas keprihatinan dan memahami keadaan beliau, Ketua Pemuda PAS Pekan, Mohd Hannis Ghazi telah menyampaikan sedikit sumbangan bekalan makanan dan bantuan kewangan.

Sumbangan kecil tersebut sebagai tanda simpati dan dengan harapan dapat meringankan sedikit beban ditanggung pemuda tersebut atas ujian yang menimpa dirinya.

Beliau yang hadir bersama Ketua Pemuda PAS Cawangan Peramu Jaya, Hafiz Mat Darus, turut memberi kata-kata semangat dan mendoakan kesejahteraan buat Muhammad Khoiruddin. – HARAKAHDAILY 9/7/2021

- Advertisement -