
Oleh ZULKEFLI HUSSIN
PASIR PUTEH: Pusat Khidmat Parlimen Pasir Puteh memastikan tiada rakyat di kawasan parlimen terbabit yang terputus bekalan makanan berikutan penularan pandemik Covid-19 sekarang.
Ahli Parlimen Pasir Puteh Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, sekiranya ada penduduk yang tercicir diharap memberitahu segera kepada penghulu untuk diagih bantuan.
“PAS tidak pernah mendiskriminasi penyokong parti lain kerana menganggap semua penduduk di kawasan Parlimen Pasir Puteh perlu dilayan sama rata.
“Kita tidak pernah memilih bulu atau fahaman politik dalam usaha membantu rakyat,” katanya selepas majlis penyampaian bantuan makanan di Pusat Khidmat Perlimen Pasir Puteh semalam.
Menurut beliau pihaknya menyediakan peruntukan RM500,000 bagi membantu penduduk mengelakkan ada yang terputus bekalan makanan.
Kata beliau daripada jumlah itu RM300,000 merupakan sumbangan kerajaan pusat kepada kesemua ahli Parlimen termasuk pembangkang melalui pakej PEMULIH.
Manakala selebihnya peruntukan tahunan khusus untuk setiap anggota Parlimen kerajaan.
“Barangan makanan itu termasuk beras, gula, biskut, tea dan maggi,” tambah beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.
Menurutnya bantuan makanan disampaikan secara berterusan sehingga Malaysia berjaya melandaikan rantaian Covid-19.
Beliau berkata, pengagihan bantuan terbabit disampaikan melalui penghulu di 97 mukim di Pasir Puteh.
Katanya juga sejak beberapa bulan lepas pihaknya mengagih bekalan makanan kepada 6,000 penduduk yang terkesan termasuk petani, pekebun kecil dan nelayan. – HARAKAHDAILY 7/7/2021











