
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Tindakan wakil rakyat DAP mencabar seorang pegawai polis di pekarangan bangunan Mahkamah Majistret Raub Isnin lepas dianggap begitu memalukan.
Berikutan peristiwa tersebut polis membuka dua kertas siasatan terhadap Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan Ronnie Liu mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
Tular di media sosial baru-baru ini Adun pembangkang dari Selangor itu mempamerkan sikap yang tidak wajar terhadap seorang pegawai polis yang sedang bertugas.
Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pemimpin terbabit wajar dikenakan tindakan undang-undang yang tegas sebagai pengajaran kepada pimpinan parti politik lain.
“Pihak berwajib wajar mengambil tindakan terhadapnya, tambahan pula bagaimana Ronnie boleh merentas negeri dari Selangor ke Pahang di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.
“Sudahlah begitu, dia menggunakan bahasa yang tidak sepatutnya dengan memaki hamun pegawai polis yang sedang menjalankan tugas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada Isnin lepas Ronnie Liu bersama Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack dan Ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Raja Puji dikatakan tidak berpuas hati sehingga berlaku provokasi terhadap seorang pegawai polis.
Sebelum itu pegawai polis terbabit memberi arahan supaya orang ramai bersurai daripada kawasan tersebut.
Pemimpin DAP terbabit datang untuk membela 18 pekebun durian Musang King yang dianggap menceroboh Hutan Simpan Kekal di Batu Talam Raub.
Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata, sikap biadab pemimpin DAP semakin terserlah dalam banyak isu yang berlaku di negara ini.
“Tidak sepatutnya sebagai seorang wakil rakyat dia melakukan tindakan sedemikian rupa. Beliau sepatutnya menunjuki teladan yang baik sebagai seorang pemimpin.
“Lebih-lebih lagi sekarang di saat rakyat menghadapi kesusahan kerana penularan pandemik Covid-19,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/7/2021











