Nelayan asing redah ombak cari gamat di Kelantan

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Nelayan asing dari Vietnam sanggup meredah ombak sehingga ke perairan negara ini semata-mata bagi mencari gamat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Kelantan Kapten (Maritim) Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, harga gamat di negara mereka bernilai tinggi sehingga RM1,000 sekilogram.

Katanya gamat tersebut digunakan untuk menghasilkan produk kecantikan dan kesihatan dalaman lelaki.

- Advertisement -

“Mereka menggunakan alat cakaran khas yang direka sendiri menyebabkan berlaku merosakkan ekosistem pembiakan ikan, di mana mengambil masa lima tahun untuk dipulihkan semula.

“Sepanjang tempoh Januari sehingga sekarang Maritim menahan dan merampas 11 bot nelayan asing dan empat bot nelayan tempatan bernilai RM13 juta atas pelbagai kesalahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Tok Bali semalam.

Manakala pada perkembangan berkaitan beliau berkata, pihaknya mengesan bot nelayan asing pada jam 5.55 petang kelmarin yang bergerak dalam keadaan mencurigakan di lokasi 42.7 batu nautika dari muara Tok Bali.

Kata beliau selepas menyedari dirapati bot Maritim, bot nelayan Vietnam terbabit cuba melarikan diri dengan bertindak melepaskan tali di air untuk mengelak daripada ditahan.

“Bagaimanpun bot berkenaan berjaya ditahan setelah mengejar kira-kira 15 minit. Pemeriksaan mendapati mereka tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan gagal mempamerkan dokumen kebenaran,” ujarnya.

Menurutnya berikutan kejadian itu Maritim merampas 200 kilogram gamat, 2,000 liter minyak diesel dan sebuah bot bernilai RM300,000 kerana menangguk gamat secara haram di perairan negara.

Turut ditahan lima krew berumur antara 25 hingga 38 tahun termasuk seorang tekong kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Kata beliau bot dan kesemua krew ditahan dibawa ke Jeti Maritim untuk disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap hasil laut secara haram.

Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga RM5 juta untuk tekong manakala RM600,000 setiap krew. – HARAKAHDAILY 7/7/2021

- Advertisement -