
KUALA LUMPUR: Kerajaan terus menunjukkan komitmen untuk memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat walaupun menghadapi cabaran pengimbangan fokus antara nyawa dan kelangsungan hidup yang amat sukar dalam memerangi wabak Covid-19.
Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Gapar berkata, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) hadir melegakan banyak pihak.
Katanya, inisiatif itu harus disambut dengan baik oleh semua pihak.

“Dengan peruntukan sebanyak RM150 bilion dalam bentuk pakej PEMULIH, pakej paling luas liputan mutakhir yang sememangnya diperlukan sebagai pemboleh inisiatif strategik
“Kebetulan baru-baru ini saya bercakap dengan pemandu Grab, beliau menyatakan di Kuala Terengganu hampir tiada pelanggan di sepanjang tempoh PKP.
“Namun mujurlah ada bantuan BPR pada bulan Jun, bantuan e-hailing pada bulan Julai, dan bantuan PEMULIH sebanyak RM500 pada Ogos, yang sangat sangat membantu beliau menghadapi saat sukar ini,” katanya.
Katanya, insentif subsidi upah juga sangat membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kembali bernafas dan menggelakkan pemberhentian pekerja.
Malah, ujarnya sektor itu paling terkesan yang menyaksikan banyak PKS ditutup dan pekerja dibuang kerja.
“PEMULIH turut menyentuh mengenai nasib M40 yang sebenarnya telah tergelincir ke B40. Kerana itu, pengkelasan status rakyat wajar ditukar kepada B60, M20 dan T20.
“Peruntukan RM300,000 kepada semua ahli Parlimen juga wajar disambut baik. Ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat, tanpa mengira warna politik mereka,” katanya lagi.
Bagaimanapun ujarnya, peruntukan besar itu seharusnya sampai kepada rakyat yang memerlukan dan berada dalam keadaan terdesak.
Namun katanya, kerajaan juga perlu jelas dan terbuka menyatakan apakah ‘blueprint’ sebenar untuk menurunkan angka kes Covid-19 setelah lima minggu rakyat terkurung tetapi kes terus statik dan mencemaskan.
“Bantuan berbentuk kewangan, pemotongan, diskaun dan moratorium adalah bersifat seperti panadol yang menghilangkan sakit kepala, namun akar punca kepada permasalahan sebenar perlu diubati,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2021











