Naik beca ke pusat vaksinasi di Taman Rahmat

- Advertisement -

MARANG: Seramai 100 orang peserta vaksinasi yang terdiri dari kalangan orang kurang upaya (OKU) mendapat layanan yang cukup istimewa apabila diberi kemudahan vaksinasi berhampiran kediaman mereka.

Kesemua mereka telah berjaya disuntik vaksin dos pertama menerusi Program Vaksinasi Outreach di Dewan Orang Taman Rahmat, Pulau Kerengga, dekat sini, kelmarin.

- Advertisement -

Program outreach yang dijalankan itu bukan sahaja telah mempercepatkan proses suntikan vaksin tetapi turut memudahkan aksesibiliti kepada kumpulan sasar khususnya golongan OKU yang pergerakan agak terbatas.

Bagi mengimbau nostalgia dan kenangan lalu, mereka dibawa dengan beca dari rumah ke tempat program vaksinasi.

Bukan itu sahaja, pemberian wang saguhati daripada Pejabat Ahli Parlimen Marang turut disampaikan kepada penerima vaksin dan petugas para program tersebut.

Kesenangan yang diberikan itu adalah demi untuk kesejahteraan rakyat di Marang khususnya yang mempunyai masalah kesihatan seperti golongan OKU.

Pusat Khidmat Parlimen Marang mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan program outreach berkenaan iaitu Pejabat Daerah Marang, Pusat Kesihatan Daerah Marang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). – HARAKAHDAILY 5/7/2021

- Advertisement -