
KUALA LUMPUR: Keadaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah stabil dan bertambah baik serta dibenarkan bertugas semasa dalam rawatan.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Muhyiddin yang dimasukkan ke hospital pada 30 Jun lalu masih menerima rawatan akibat jangkitan pada sistem penghadaman.
“Atas nasihat pasukan doktor, beliau kini berada di hospital untuk terus mendapatkan rawatan antibiotik intravena,” ujar kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah, Muhyiddin yang dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam tempoh beberapa hari lagi turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesihatan beliau.
Menurut kenyataan itu juga, tiada bukti menunjukkan masalah tumor lama yang dihidapi Perdana Menteri berulang. – HARAKAHDAILY 4/7/2021











